Bekas pengarah pengurusan Bukit Aman meninggal dunia


Abdul Ghafar yang berkhidmat selama 39 tahun dalam Polis Diraja Malaysia pernah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Ketua Polis Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman sebelum bersara wajib pada Julai 2018. – Gambar Facebook PDRM, 17 Ogos, 2021.

BEKAS Pengarah Pengurusan Bukit Aman Abdul Ghafar Rajab meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. 

Abdul Ghafar, 63, yang dimasukkan ke hospital itu sejak Khamis lepas, meninggal dunia dalam tidur pada 5.30 pagi. 

Anaknya, Insp Mohd Qassim Abdul Ghafar ketika dihubungi Bernama berkata bapanya yang menghidap kanser, kerap dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Abdul Ghafar yang berkhidmat selama 39 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Ketua Polis Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman sebelum bersara wajib pada Julai 2018.

Allahyarham yang berasal dari Pontian, Johor meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak. Jenazah disembahyangkan di Masjid Bukit Aman dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Persint 20, Putrajaya. 

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani menerusi hantaran dalam akaun rasmi Facebook PDRM mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham. – Bernama, 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen