KERAJAAN Jepun pada Selasa berkata akan memperluas darurat koronavirus ke tujuh wilayah ketika gelombang jangkitan meningkat seminggu sebelum Sukan Paralimpik.
Langkah darurat Covid-19 melarang restoran dan bar menjual alkohol dan perlu ditutup pada pukul 8 malam sudah dikuat kuasa di Tokyo dan lima wilayah lain, dan akan berakhir pada 31 Ogos.
Namun kerajaan kini akan memperluas langkah itu ke beberapa lagi wilayah, dengan larangan di seluruh negara diteruskan hingga 12 September.
“Jangkitan merebak ke seluruh Jepun pada skala yang belum pernah kita alami sebelum ini,” kata Yasutoshi Nishimura, menteri yang bertanggungjawab menguruskan koronavirus.
“Jumlah pesakit kritikal meningkat setiap hari,” katanya dalam mesyuarat pakar.
Selain langkah-langkah yang dikenakan di bar dan restoran, kerajaan akan mengarahkan pusat dan gedung membeli-belah mengehadkan jumlah pelanggan.
Jepun sebelum ini berhadapan pandemik yang lebih kecil berbanding negara lain, dengan sekitar 15,400 kematian walaupun tanpa sekatan pegerakan.
Bagaimanapun program vaksinasi dimulakan lewat berbanding di banyak negara maju yang lain, malah hanya sekitar 37 peratus sahaja penduduk ketika ini telah diberi vaksin lengkap.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Jepun melaporkan lebih 20,000 jangkitan harian di seluruh negara, satu rekod buat negara itu.
Lonjakan bermula sebelum Olimpik dibuka bulan lalu dan berlanjutan sepanjang temasya yang diadakan tanpa penonton dalam kebanyakan acara.
Pada malam Isnin, penganjur berkata larangan penonton juga akan dibuat untuk Paralimpik, dengan pengecualian terhad kepada program yang membawa kanak-kanak sekolah menonton temasya tersebut.
Peserta paralimpik menghadapi sekatan virus termasuk ujian biasa dan had pergerakan mereka.
Kerajaan berkata tidak ada bukti dengan mengadakan temasya tersebut akan menyebabkan peningkatan kes malah tinjauan baru-baru ini mendapati ramai rakyat Jepun percaya menganjurkan Olimpik adalah idea baik, walaupun ada juga yang berpendapat ini mendorong kepada peningkatan jangkitan.
Beberapa pakar berpendapat temasya besar antarabangsa itu memperlekehkan sekatan yang dibuat kerajaan, mengajak rakyat keluar dan perniagaan dibuka.
Laporan media tempatan menganggarkan hingga 40 peratus bar dan restoran di beberapa bahagian Tokyo melanggar peraturan virus. – AFP, 17 Ogos, 2021.
Komen