AS siasat sistem pandu sendiri Tesla


Satu kemalangan maut manakala tujuh lagi mengakibatkan kecederaan dilaporkan sejak 2018 membabitkan sistem pandu sendiri Autopilot kereta elektrik keluaran Tesla. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2021.

PIHAK berkuasa  Amerika Syarikat (AS) membuka siasatan awal ke atas Autopilot kereta elektrik keluaran Tesla selepas 11 kes kemalangan dilaporkan melibatkan sistem pandu sendiri itu, kata pegawai semalam.

Satu kemalangan maut manakala tujuh lagi mengakibatkan kecederaan dilaporkan sejak 2018, menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA).

Pengasas Tesla Elon Musk mempertahankan sistem Autopilot kereta elektrik keluaran syarikatnya, dan berkata amaran mengenai ‘pengawasan pemandu aktif’ di tempat pemandu telahpun dikeluarkan.

Bagaimanapun, pengkritik termasuk dalam Kongres berkata sistem itu mudah ditipu dan menggesa NHTSA untuk mengambil tindakan segera.

Penguji bersama majalah Consumer Reports dalam satu rakaman video menunjukkan sistem Autopilot boleh ditipu dengan kenderaan memandu sendiri tanpa pemandu di dalamnya. 

“Siasatan awal dimulakan dengan menilai fakta serta mengumpul maklumat tambahan, kata jurucakap NHTSA.

April lalu, dua senator Demokrat menggesa NHTSA menyiasat satu kes kemalangan maut membabitkan kereta Tesla tanpa pemandu di Texas.

Tesla menafikan nahas tersebut membabitkan sistem Autopilot dan insiden itu tidak termasuk dalam senarai 11 nahas NHTSA. – AFP, 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen