Blue Origin saman NASA beri kontrak kepada SpaceX Moon


Blue Origin syarikat angkasa lepas milik Jeff Bezos telah menyaman kerajaan Amerika Syarikat antara lain kerana tidak berlaku adil dalam pemberian kontrak penerokaan bulan yang diberikan Nasa kepada pesaingnya SpaceX. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2021.

BLUE Origin, syarikat angkasa milik Jeff Bezos, menyaman kerajaan Amerika Syarikat kerana memberi kontrak penerokaan bulan besar-besaran kepada pesaingnya SpaceX, katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Syarikat itu telah mengemukakan tuntutan kepada Mahkamah Tuntutan AS dalam usaha untuk “memperbaiki kekurangan” tentang bagaimana kontrak itu diberikan, menurut kenyataan itu.

Kontrak sistem pendaratan manusia (HLS), bernilai AS$2.9 bilion diberikan kepada SpaceX dimiliki Elon Musk, pesaing Bezos, pada April.

Ia turut dibantah pembida lain, yang berpendapat Nasa sepatutnya buka lebih banyak kontrak selain mendakwa proses penilaiannya tidak adil.

“Kami percaya isu-isu yang dikenal pasti dalam perolehan ini dan hasilnya perlu ditangani untuk kembalikan keadilan, mewujudkan persaingan, dan memastikan keselamatan pulang ke bulan buat Amerika,” kata Blue Origin.

Sejak hilang kontrak, Blue Origin telah melobi agar keputusan itu dibatalkan. Pihaknya mengajukan protes ke Pejabat Ketelusan Kerajaan, namun pada Julai pemantau itu mempertahankan keputusan Nasa.

Nasa dalam satu kenyataan pada Isnin berkata pihaknya diberitahu mengenai tuntutan Blue Origin dan pihaknya sedang mengkaji kes tersebut.

“Dengan rakan kongsi kami, kami akan pergi ke Bulan dan tinggal di sana untuk membolehkan penyelidikan sains, mengembangkan teknologi baru, dan mewujudkan pekerjaan dengan gaji tinggi untuk kebaikan yang lebih besar dan sebagai persiapan untuk menghantar angkasawan ke Marikh,” kata kenyataan itu.

Di bawah program Artemis, Nasa merancang untuk membawa manusia ke bulan pada pertengahan dekad ini dan membangun sebuah stesen orbit lunar, sebelum misi ke Mars pada 2030-an.

Syarikat Musk, yang ditubuhkan pada 2002, kini merupakan rakan kongsi sektor swasta terkemuka Nasa. – AFP, 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen