PRESIDEN baharu Iran Ebrahim Raisi pada Isnin berkata kekalahan Amerika Syarikat di Afghanistan perlu membawa keamanan yang berpanjangan di negara itu.
“Kekalahan dan pengunduran tentera AS dari Afghanistan sepatutnya buka peluang untuk mengembalikan kehidupan, keselamatan dan keamanan yang berkekalan di negara itu,” kata Raisi dipetik oleh pejabatnya.
Kenyataan presiden itu dikeluarkan setelah Taliban menguasai Kabul, namun beliau tidak secara tersurat menyebut kumpulan itu atau kejatuhan ibu kota Afghanistan.
Raisi dalam dialog dengan menteri luar Iran Mohammad Javad Zarif berkata Iran mahu hubungan baik dengan negara jiran Afghanistan dan secara rapat mengikuti perkembangan keadaan di sana.
Kementerian luar itu kemudian berkata Zarif telah berjumpa utusan khas China ke Afghanistan, Yue Xiaoyong, dan berbincang mengenai isu orang yang lari semasa kejadian terbaru di Afghanistan dan ketibaan mereka secara beramai-ramai di negara jiran.
Iran berkongsi sempadan sepanjang 900 kilometer dengan Afghanistan, dan sudah menjadi tuan rumah buat hampir 3.5 juta orang Afghanistan, menurut agensi pelarian PBB.
Ketua urusan sempadan kementerian dalam negeri, Hossein Ghassemi, berkata pada Ahad usaha sedang dibuat di tiga wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan bagi mendirikan tempat tinggal sementara jika pelarian Afghanistan masuk.
Mereka akan dihantar pulang selepas keadaan kembali pulih, katanya kepada agensi berita IRNA.
Penganalisis berkata Tehran mengambil sikap pragmatik mengenai kebangkitan Taliban, tetapi ramai rakyat Iran mempunyai sejarah menyakitkan mengenai pemerintahan kumpulan Sunni yang keras itu pada penghujung 1990-an.
Pada 1998, tentera Taliban memasuki konsulat Iran di Mazar-i-Sharif di Afghanistan, membunuh beberapa diplomat dan seorang wartawan IRNA.
Taliban kemudian berkata mereka telah dibunuh oleh individu yang bertindak secara bebas, tetapi Tehran menganggap kumpulan itu bertanggungjawab atas kematian tersebut, yang mencetuskan kemarahan dan hampir mencetuskan campur tangan ketenteraan Iran di Afghanistan.
Pada Ahad, kementerian luar Iran berkata pihaknya telah mengurangkan kehadiran diplomatiknya di Afghanistan, tidak lama setelah Taliban sampai di pinggiran ibu kota Afghanistan.
Perbincangan Zarif dengan utusan China dibuat ketika jurucakap kerajaan di Beijing berkata negara itu bersedia untuk mengeratkan hubungan mesra dan kerjasama dengan Afghanistan. – AFP, 17 Ogos, 2021.
Komen