Biden pertahan undur tentera dari Afghanistan


Presiden Amerika Syarikat Joe Biden selepas beberapa hari membisu hari ini bersuara mempertahankan tindakannya mengundurkan tentera dari Afghanistan, berkata banyak yang beliau pelajari dalam 20 tahun campur tangan AS di negara konflik itu. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden mempertahankan pengunduran tentera AS dari Afghanistan, berkata beliau berpegang teguh pada pendirian itu dan sudah sampai masa untuk keluar selepas 20 tahun.

“Saya presiden Amerika Syarikat dan jadi tanggungjawab saya untuk ambil langkah itu,” kata Biden dalam ucapan yang ditunggu-tunggu dari Rumah Putih selepas beberapa hari membisu mengenai perkembangan itu.

Ketika ibu kota Afghanistan huru-hara, Biden berkata beliau sangat sedih dengan keadaan itu, berjanji untuk bersuara mengenai hak-hak wanita yang kini berhadapan kemunculan semula pemerintahan Taliban.

Bagaimanapun beliau menegaskan tidak menyesal menarik keluar tentera walaupun mendapat kritikan hebat berikutan kerana kekacauan yang terjadi selepas dua dekad campur tangan tentera dipimpin AS.

“Saya berdiri teguh dengan keputusan saya,” kata Biden. “Setelah 20 tahun, saya belajar dengan cara yang sukar tidak pernah ada masa yang tepat untuk mengundurkan tentera AS.”

Pemimpin AS itu mengakui pemerintah Afghanistan jatuh lebih cepat daripada yang dijangka, beliau berpendapat mereka tidak ada kemahuan untuk melawan Taliban.

“Sebenarnya, ini terjadi lebih cepat daripada yang kami ramal,” kata Biden.

“Kami beri mereka kesempatan untuk tentukan masa depan mereka sendiri. Kami tidak dapat beri keupayaan berjuang untuk masa depan.”

Namun, Biden mengulangi kepentingan AS di Afghanistan pada dasarnya adalah untuk mencegah serangan pengganas ke tanah air AS selain berkata Amerika akan terus “bertindak cepat dan tegas” terhadap ancaman keganasan yang muncul dari negara itu.

“Misi di Afghanistan bukanlah bertujuan untuk membina semula negara,” katanya.

Dalam masa sama presiden AS itu mengeluarkan amaran keras kepada Taliban supaya tidak mengganggu atau mengancam ribuan diplomat Amerika dan penterjemah Afghanistan di lapangan terbang Kabul.

“Kami akan pertahankan rakyat kami dengan tindakan keras, jika perlu,” katanya. – AFP, 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen