Perkhidmatan awam tidak terkesan, kata KSN


Muhyiddin Yassin umum peletakan jawatannya sebagai perdana menteri dan 29 menteri Kabinet kerajaan PN di bawah pimpinannya hari ini. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2021.

PERKHIDMATAN awam tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata penjawat awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.

“Dalam mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan bahawa perkhidmatan awam sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuki berkata perkhidmatan awam tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara kerana kerjasama serta kesefahaman kukuh dan jitu antara setiap agensi kerajaan menjadi kunci utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif sedia ada.

Beliau berkata urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan persekutuan seperti biasa.

Anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia pula sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam, katanya.

Zuki berkata segala usaha, bantuan dan inisiatif yang melibatkan peruntukan yang besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutamanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Perkhidmatan awam komited mendukung konsep neutrality dan government of the day berlandaskan rule of law,” katanya.

Beliau berkata jentera kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang telah diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh yang mencabar ini.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri dan peletakan jawatan 29 menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataannya memaklumkan Seri Paduka berkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara atau “caretaker” sehingga perdana menteri baharu dilantik, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – Bernama, 16 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen