Kabinet Perikatan letak jawatan, kata Khairy


Kenderaaan membawa Muhyiddin Yasin kelihatan masuk ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. Awal pagi tadi beliau dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan negara. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2021.

JEMAAH menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan hari ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, beberapa minit selepas perdana menteri dilihat keluar dari Istana Negara.

“Kabinet mempersembahkan peletakan jawatan kepada Agong.

“Terima kasih atas peluang, sekali lagi, berkhidmat untuk negara.

“Moga Tuhan memberkati Malaysia,” tulisnya di Instagram.

Muhyiddin ke Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di pejabatnya di Putrajaya, pagi tadi.

Mesyuarat itu difahamkan bermula 10.30 pagi.

Kenderaan yang membawa Muhyiddin dilihat memasuki perkarangan Istana Negara sebelum 12.30 tengah hari, dan keluar lebih kurang 40 minit kemudian.

Muhyiddin tiba ke rumahnya di Bukit Damansara kira-kira pukul 1.08 petang.

Beliau dijangka membuat pengumuman pada petang ini, yang akan disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi media sosial sebentar tadi berkata Kabinet Perikatan Nasional sudah meletak jawatan. – Gambar Instagram, 16 Ogos, 2021.

Selepas mesyuarat berakhir, beberapa menteri menulis di media sosial membayangkan itu adalah mesyuarat mereka yang terakhir.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga menulis kata-kata semangat kepada Muhyiddin di Facebook

“Kami berdiri teguh dan bangga dengan anda, Tan Sri Presiden. Terima kasih atas jasa dan kepimpinan anda.

“Kita akan kembali dengan lebih kuat, onsya-Allah,” katanya, yang juga ketua Pemuda Bersatu, parti pimpinan Muhyiddin.

Dalam pada itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali menyebut mesyuarat jemaah menteri hari ini adalah yang terakhir bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Alhamdulillah. Selesai mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional pagi ini. Perdana menteri akan bergerak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

“Tawakal kepada Allah selepas bertekad seusai mesyuarat,” tulisnya. 

Hishammuddin Hussein menerusi Twitter menulis rasa terharunya berpeluang berkhidmat kepada negara ini dan rakyatnya.

“Semoga Allah memberkati kita semua,” katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menulis di Facebook meminta maaf jika ada kesilapan, kelemahan dan kekurangannya sepanjang berkhidmat.

Awal hari ini, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan pegawai di Pejabat Perdana Menteri pada 8.30 pagi disusuli perjumpaan khas dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

The Malaysian Insight difahamkan pertemuan disertai antaranya Ketua Setiausaha Negara Mohd Fuzi Ali, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Berita Muhyiddin letak jawatan heboh sejak Sabtu selepas parti pembangkang menolak tawaran pembaharuan sebagai ganti untuk mereka menyokong pentadbirannya yang hilang majoriti di Dewan Rakyat. – 16 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen