Trump gesa Biden letak jawatan gagal selesai isu Taliban


Bekas presiden Amerika Syarikat Donal Trump berulang kali mengkritik Joe Biden kerana gagal menyelesaikan masalah di Afghanistan selain pengunduran tentera AS yang dikatakannya sebagai paling teruk dalam sejarah AS. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2021.

BEKAS presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggesa Joe Biden letak jawatan pada Ahad kerana gagal kalahkan Taliban yang mengambil alih Afghanistan, berikutan tentera AS keluar dari negara itu setelah 20 tahun.

“Sudah tiba masanya Joe Biden undurkan diri dengan apa yang terjadi di Afghanistan,” kata Trump dalam satu kenyataan, yang turut mengkritik lonjakan kes Covid-19 di Amerika Syarikat dan imigrasi domestik, ekonomi dan dasar tenaga.

Taliban telah menakluki Afghanistan dengan pantas selepas 20 tahun mereka digulingkan oleh AS.

Pada Ahad Taliban menguasai Kabul, lebih dua minggu sebelum tarikh akhir 31 Ogos yang ditetapkan oleh Biden untuk menyelesaikan pengunduran tentera Amerika dari negara itu.

Di bawah Trump, AS membuat perjanjian dengan Taliban di Doha pada 2020 yang akan menyaksikan AS menarik semua tenteranya menjelang Mei 2021, sebagai pertukaran dengan pelbagai jaminan keselamatan.

Ketika Biden berkuasa pada awal tahun ini, beliau menolak tarikh akhir pengunduran itu dan tidak menetapkan sebarangf syarat untuk itu.

Trump berulang kali mengecam Biden atas tindakan itu, berkata ia akan jadi “pengunduran yang jauh berbeza dan lebih berjaya” jika beliau masih presiden.

“Apa yang dibuat Joe Biden dengan Afghanistan adalah cerita legenda. Ini akan jadi salah satu kekalahan terbesar dalam sejarah Amerika!” katanya dalam satu kenyataan lain pada Ahad.

Pentadbiran Biden dengan cepat menyalahkan rundingan Doha Trump mengenai pengunduran tentera selain mendakwa sebahagian besar rakyat AS pilih untuk tamatkan perang selamanya. – AFP, 16 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen