Penjawat awam Sarawak perlu isytiharkan aset


Desmond Davidson

SARAWAK menyuarakan niatnya untuk mempunyai perkhidmatan awam yang bersih dan telus dengan mewajibkan semua pegawainya mengisytiharkan aset mereka dalam masa lima tahun akan datang.

Pengisytiharan itu juga akan menjadi sebahagian daripada keperluan untuk kenaikan pangkat.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri yang baru dilantik Talip Zulpilip, memberitahu sidang dewan negeri hari ini yang pegawai-pegawai ini juga akan disaring pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan mereka tidak mempunyai kesalahan jenayah sebelum mereka dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Talip berkata usaha memastikan integriti menjadi nilai paling utama daripada enam nilai teras penjawat awam negeri mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk hanya mempunyai pekerja yang mempunyai “nilai, integriti dan karakter yang tinggi”.

Katanya lagi kecemerlangan kelulusan akademik tidak lagi mencukupi untuk mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan awam.

Bagi memastikan pekhidmatan awam hanya akan merekruit mereka yang mempunyai bakat terbaik yang “berintegriti”, katanya, kerajaan akan menggunapakai “proses perekruitan lima fasa yang telus dan kompetitif”.

Pemohon yang melepasi tiga fasa pertama- penilaian akademik, ujian kefasihan bahasa dan penilaian di pusat penilaian- akan menjalani penilaian profiling psikologi sebelum mereka dipertimbangkan untuk temuduga jawatan.

Selain itu, katanya lagi status kewangan pemohon akan disaring bagi menentukan sekiranya mereka muflis dan sekiranya wujud keperluan untuk mengisytiharkan status pinjaman pendidikan mereka, sekiranya ada, “bagi memastikan mereka tidak melanggar mana-mana komitmen kewangan mereka.”

Pemohon juga perlu mendapatkan perakuan dari pesuruhjaya sumpah. – 18 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen