PERDANA Menteri Kanada Justin Trudeau mengumumkan pilihan raya mengejut diadakan pada 20 September ini bagi mendapatkan mandat baharu untuk menangani krisis Covid-19.
Bagaimanapun, tindakan mengukuhkan pengurusan pelan keluar pandemik Kanada itu mendapat bantahan keras daripada pembangkang yang khuatir jangkitan koronavirus akan meningkat.
Kanada memberikan bantuan pandemik besar melebihi belanjawan persekutuan dan undang-undang lain dengan sokongan pembangkang sejak setahun lalu.
Namun, Trudeau yang memegang jawatan perdana menteri sejak 2015, merungut kerana Parlimen tidak berfungsi bagi melaksanakan tugasnya.
Pemimpin itu bertemu Ketua Gabenor Mari Simon semalam meminta beliau membubarkan Parlimen dan berharap keputusan pilihan raya mampu memberi kuasa semula kepada parti Liberal pimpinannya.
“Rakyat Kanada perlu memilih bagaimana kita mahu menamatkan perjuangan menentang Covid-19 dan membina semula negara dengan lebih baik.
“Ini termasuk daripada menyelesaikan tugas melaksanakan imunisasi dengan sokongan penuh hingga akhir krisis,” kata Trudeau selepas pertemuan itu.
Semua lima parti kini berazam bertanding dalam pilihan raya itu, namun kebanyakan rakyat sememangnya sudah menyokong usaha menangani pandemik Trudea.
Bagaimanapun, risiko kemunculan jangkitan gelombang keempat Covid-19 ketika kempen itu mungkin akan mengakibatkan beliau dikritik.
Meskipun program vaksinasi Kanada antara yang tertinggi di dunia dengan hampir 62% rakyat diimunisasi, kes baharu mencecah 1,000 mangsa setiap hari turut dilaporkan.
Pesaing utama Trudeau adalah pemimpin parti Konservatif, Erin O’Toole yang dilihat sedang berusaha keras meningkatkan pengaruh sejak Ogos 2020 kerana perintah sekatan dan larangan lain mengekang kempennya.
Kini, kempen pilihan raya berbaki 36 hari dan dijangka berkisar pelan pengurusan pandemik, bantuan kecemasan kerajaan dan pelan rangsangan pasca pandemik tiga tahun bernilai AS$80.9 bilion. – AFP, 16 Ogos, 2021.
Komen