KUMPULAN Taliban mengisytiharkan perang di Afghanistan tamat hari ini selepas berjaya menguasai ibu kota Kabul ekoran pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara itu, lapor agensi berita.
Menurut Al-Jazeera, pengumuman dibuat apabila kumpulan Taliban dengan senjata berat mengambil alih bandar Kabul selepas Presiden Ashraf Ghani meninggalkan negara itu.
Ia memetik kenyataan jurucakap Taliban Mohammad Naeem yang memberi jaminan kumpulan berkenaan tidak akan menjejaskan keselamatan mana-mana pihak.
“Alhamdulilllah, perang sudah berakhir dalam negara. Kami sudah mencapai tujuan kami, iaitu pembebasan rakyat dan kemerdekaan negara kami.
“Kami tidak akan membenarkan sesiapa menggunakan tanah air kami untuk mensasarkan sesiapa, dan kami tidak akan mengancam keselamatan sesiapa,” katanya.
Beliau berkata bentuk kerajaan baharu Afghanistan akan diumumkan tidak lama lagi.
Perang 20 tahun itu berakhir dengan pengunduran tenteta AS sejak Mei lalu.
Puluhan negara sekutu seperti Australia bagaimanapun masih belum selesai memindahkan kakitangannya selepas menutup kedutaan pada bulan itu.
Laporan menyebut, kakitangan diplomat dari kedutaan di Kabul giat dipindahkan dengan menggunakan pesawat helikopter Chinook.
Suasana tersebut serupa dengan hari-hari terakhir AS berundur dari Vietnam selepas tewas dalam perang menentang negara itu.
Serentak dengan pengunduran dari Afghanistan pada Mei, AS dan tentera negara sekutunya menguatkan kehadiran di Laut China Selatan.
Kemunculan sebegitu banyak kapal perang di rantau ini dibimbangi akan menjadikannya teater perang baharu dalam kempen AS mengekang pengaruh China. – 16 Ogos, 2021.
Komen