PRESIDEN Afghanistan Mohammad Ashraf Ghani telah melarikan diri ke luar negara semalam, selepas kumpulan pemberontak Taliban mula memasuki ibu kota Kabul.
Ashraf dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook berkata beliau melarikan diri untuk mengelakkan mengelakkan pertumpahan darah di negara itu.
Lokasinya sekarang ini bagaimanapun tidak diketahui, namun agensi berita Afghan, Tolo, berkata Ashraf berkemungkinan berada di Tajikistan.
“Taliban sudah menang… dan mereka bertanggungjawab untuk melindungi kehormatan, kemakmuran dan harga diri rakyat,” katanya.
Media melaporkan Taliban mula masuk ke Kabul dari semua arah semalam selepas menawan Jalalabad, yang menjadi laluan penting menghubungkan Afghanistan dan Pakistan.
Pemimpin kanan Taliban Mullah Baradar dalam satu video semalam umum kemenangan dan menyifatkan pertempuran serta usaha menggulingkan presiden berlaku sangat pantas.
Al Jazeera memetik Mullah sebagai berkata peralihan kuasa akan berlaku secara aman dan memberi jaminan Taliban tidak akan menjejaskan keselamatan rakyat Afghanistan.
Jurucakap Taliban Suhail Shaheen pula memberitahu agensi berita Associated Press satu rundingan sedang diadakan rundingan bagi membentuk kerajaan inklusif di Afghanistan.
Dalam tempoh 48 jam yang lalu, banyak negara mula keluarkan diplomat masing-masing termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Britain menghantar pasukan tentera untuk memindahkan kakitangan kedutaan dan warga masing-masing keluar dari Afghanistan.
Pertengahan bulan lalu, Taliban mendakwa mereka menguasai 90% sempadan Afghanistan selepas tentera AS berundur dari negara yang dilanda perang itu.
Pertempuran antara tentera Afghanistan dan Taliban semakin meruncing sejak itu.
Seminggu lalu, kumpulan itu umum berjaya menawan tiga lagi bandar di wilayah utara Afghanistan, selepas menguasai sebahagian besar kawasan luar bandar dalam tempoh beberapa bulan.
Taliban semakin menghampiri Kabul selepas menawan bandar Ghazni, yang terletak hanya 105km dari ibu kota itu, empat hari lalu.
Bandar Jalalabad ditawan semalam, menjadikan Kabul satu-satunya bandar yang masih dikuasai kerajaan.
Ashraf kemudian melarikan diri, dan mengeluarkan kenyataan mengakui kemenangan Taliban. – Agensi, 16 Ogos, 2021.
Komen