Kerajaan tangani isu caj tinggi urus jenazah Covid-19, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary berkata kos menguruskan jenazah berisiko tinggi seperti pesakit HIV serta Covid-19 sememangnya akan berlaku penambahan caj secara berpatutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

KERAJAAN sentiasa mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa agama negeri dalam pelbagai isu termasuk membekalkan kepakaran untuk melatih individu yang berminat mempelajari kaedah pengurusan jenazah Covid-19 tanpa mengenakan caj.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata perkara ini sekali gus dapat menangani isu caj pengurusan jenazah pesakit Covid-19 yang didakwa tinggi serta tidak munasabah, termasuk dilaporkan berlaku di Kelantan.

“Saya tidak mendapat maklumat terperinci berkaitan isu kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19. Namun seperti yang kita sedia maklum, pihak hospital tidak menguruskan urusan tayamum bagi jenazah pesakit wabak berkenaan.

“Bagaimanapun, pihak luar yang menguruskan perkara itu didakwa mengambil kesempatan mengenakan bayaran tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata sebelum ini, kos menguruskan jenazah adalah antara RM300 hingga RM500, namun sekiranya jenazah berisiko tinggi seperti pesakit HIV serta Covid-19, sememangnya akan berlaku penambahan caj secara berpatutan.

“Namun, jika kos dikenakan didakwa mencecah hingga ribuan ringgit hanya untuk proses tayamum, ia memang tidak munasabah,” tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan bayaran pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Kelantan didakwa mencecah antara RM1,300 hingga RM1,800 yang disifatkan melampau sehingga memberi tekanan kepada keluarga kurang berkemampuan.

Malah, bayaran itu dikatakan bukan kos keseluruhan yang meliputi pengebumian, sebaliknya hanya untuk urusan memandikan jenazah dengan kaedah tayamum sebelum dikafankan.

Ahmad Marzuk turut berkata Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sudah memanggil pihak terlibat bagi mendapatkan maklumat selain menetapkan penyelarasan harga berpatutan  dalam menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

“Bagi peringkat Persekutuan pula, pengurusan jenazah adalah di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kita tidak mengenakan caj membebankan kepada waris,” katanya. – Bernama, 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen