Ahli Parlimen Umno pro-Muhyiddin giat cari sokongan jadi PM, kata sumber


The Malaysian Insight

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, dua nama akan diketengahkan sebagai perdana menteri baharu: Ismail Sabri Yaakob (gambar) dan Hishammuddin Hussein. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

AHLI Parlimen Umno yang menyokong Muhyiddin Yassin mula mencari sokongan untuk menggantikan perdana menteri melalui gabungan kerjasama politik yang munasabah, kata beberapa sumber.

The Malaysian Insight difahamkan Muhyiddin akan mengemukakan dua calon pengganti perdana menteri apabila beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

“Ahli Parlimen Umno yang paling berpengaruh akan dapat sokongan penuh parti untuk jadi perdana menteri, dan timbalannya dari Bersatu,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

Dua calon dari Umno ialah Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob yang juga timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan, serta Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, yang juga menteri kanan luar negara.

Ismail juga naib presiden Umno manakala Hishammuddin tidak bertanding sebarang jawatan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada pemilihan parti pada Jun 2018.

“Calon Umno sedang dapatkan surat akuan sokongan. Ini 24 jam yang kritikal bagi mereka,” tambah sumber.

The Malaysian Insight juga difahamkan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin akan diangkat sebagai timbalan perdana menteri, melangkaui Timbalan Presiden parti Ahmad Faizal Azumu yang diumum sebagai penasihat perdana menteri awal bulan ini.

Seorang lagi sumber memberitahu barisan pimpinan Bersatu tidak gembira dengan cadangan itu dan mengatur pelan lain menjelang majlis mengadap Muhyiddin di Istana Negara.

“Bersatu masih mahu jadi parti yang menerajui. Tidak pasti sama ada ahli parlimen Umno boleh dapat sokongan padu Bersatu atau sama ada PAS akan setuju juga,” katanya.

The Malaysian Insight juga difahamkan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin akan diangkat sebagai timbalan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2021.

Bersatu dan PAS adalah sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk pada awal Ogos 2020 bersama Gerakan, dan dua parti di Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

“Ini pelan peralihan kuasa yang paling teruk,” tambah sumber.

Kumpul akuan sokongan

Sementara itu, sekumpulan ahli parlimen berkumpul di Royale Chulan Hotel di Kuala Lumpur petang ini.

The Malaysian Insight difahamkan ahli parlimen Umno yang bersama Ismail Sabri dan kumpulan diketuai Hamzah akan hadir.

Sumber memberitahu mereka akan menandatangani surat akuan berkanun menyokong Ismail sebagai perdana menteri dan Hamzah sebagai timbalannya.

Ismail Sabri dilihat tiba kira-kira 2.45 petang sementara kenderaan beberapa ahli parlimen juga kelihatan di perkarangan hotel.

Awal hari ini ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof, yang mengesahkan Muhyiddin akan letak jawatan, berkata apa yang berlaku sekarang berpunca daripada kepentingan peribadi diletakkan lebih utama daripada kepentingan rakyat.

“Kita nampak ada segolongan yang tidak bertanggungjawab untuk memastikan nasib rakyat digadaikan,” katanya.

Muhyiddin membuat keputusan letak jawatan tidak sampai 24 jam selepas beliau membuat tawaran reformasi sebagai ganti sokongan ahli parlimen pembangkang kepada kerajaannya.

Pembangkang menolak tawaran itu yang disifatkan sebagai rasuah sementara segelintir sekutu Muhyiddin juga mempertikaikannya, sehingga memaksa keputusan letak jawatan ini menjelang undi percaya yang ditetapkan 7 September. – 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen