LEBIH 200,000 penunjuk perasaan berarak di seluruh Perancis semalam membantah pas kesihatan dikuatkuasakan Presiden Emmanuel Macron bagi mengekang Covid-19.
Kementerian Dalam Negeri berkata 214,845 penunjuk perasaan termasuk 14,000 di Paris, turut serta dalam protes di seluruh negara itu, berkurangan 22,000 berbanding jumlah hujung minggu lalu, tetpai masih tetap ramai bagi minggu kelima berturut-turut.
Macron melihat keperluan pas kesihatan itu – yang menjadikan vaksinasi penting untuk menjalani rutin harian seperti minum di kafe dan menaiki kereta api – sebagai kunci utama negara keluar daripada pandemik dan mengelak perintah berkurung dikuatkuasakan lagi.
Tetapi penunjuk perasaan – yang terdiri daripada golongan berhaluan kanan, aktivis jaket kuning, anti vaksin dan penyokong kempen hak asasi – berkata polisi itu melanggar hak asas kebebasan yang sangat dijulang oleh masyarakat Perancis.
Dua protes berasingan berlangsung di Paris – membawa slogan “bebaskan Perancis”, “hentikan kegilaan korona” dan “katakan ya kepada kebebasan untuk memilih” melaungkan kata-kata bantahan terhadap kerajaan.
Berbeza dengan demonstrasi jaket kuning pada 2018, protes kali ini tidak melaporkan insiden besar, tetapi jumlah penunjuk perasaan kekal banyak dan tidak ada tanda menunjukkan protes akan tamat.
Kira-kira 237,000 penunjuk perasaan turun di jalanan seluruh Perancis pada Sabtu lalu, termasuk 17,000 di Paris, mengatasi jumlah 204,000 yang direkodkan pada hujung minggu sebelumnya. – AFP, 15 Ogos, 2021.
Komen