SEKURANG-KURANGNYA 27 pelarian Rohingya hilang selepas bot dinaiki mereka karam ketika cuba melarikan diri dari sebuah kem di sebuah pulau di Bangladesh, semalam.
Hampir 20,000 etnik Rohingya ditempatkan di sebuah pulau dikenali sebagai Bashan Char di Teluk Bengal yang kerap dilanda taufan.
Bangladesh bercadang memindahkan 100,000 daripada sejuta pelarian Rohingya ke pulau itu bagi mengurangkan kepadatan kem di tanah besar.
Bagaimanapun, beberapa pelarian Rohingya mendakwa mereka dipaksa untuk berpindah sementara ribuan lagi membantah tindakan itu pada Jun lalu, kerana tidak berpuas hati dengan keadaan hidup di pulau berkenaan.
Selepas kejadian itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pihaknya tetap prihatin dengan laporan mengenai pelarian yang ditahan kerana cuba melarikan diri dari Bashan Char.
Polis berkata bot nelayan kecil yang dinaiki 41 pelarian Rohingya tenggelam selepas cuba melepasi cuaca buruk di Teluk Bengal, berhampiran pulau terbabit.
Polis berkata 14 berjaya diselamatkan dan operasi mencari sedang dijalankan untuk mencari mangsa hilang.
“Kapal tentera laut dan sebuah helikopter turut menyertai misi pencarian,” kata Pentadbir Kerajaan untuk Bashan Char Sujit Kumar Chanda, menambah mangsa hilang termasuk wanita dan kanak-kanak.
Chanda berkata seorang kanak-kanak berumur dua tahun berjaya diselamatkan bapanya.
Bangladesh mula menjalankan penempatan semula pelarian di kem di pulau yang dianggap kontroversi bermula November dengan alasan, kem pelarian di negara itu terlalu padat dengan penghuni.
Polis berkata sejumlah etnik Rohingya yang melarikan diri dari pulau itu beberapa bulan lalu berjaya ditahan di bandar pesisir dekat wilayah Chittagong, Bangladesh. – AFP, 15 Ogos, 2021.
Komen