Ribuan protes pasport vaksin di Montreal


Pasport vaksin Covid-19 di wilayah Quebec bermula awal bulan depan dengan bukti vaksin perlu diberi sebelum masuk ke restoran, gymnasium dan bar. – Gambar EPA, 15 Ogos, 2021.

RIBUAN penduduk berhimpun di jalanan di Montreal sebagai bantahan terhadap penguatkuasaan pasport vaksin Covid-19 wilayah Quebec yang akan bermula awal bulan depan.

Kain rentang “Bebas” dan “Kami bukan tikus makmal” dibawa penunjuk perasaan dengan kebanyakannya datang bersama keluarga, berarak secara aman di bawah panas terik di Montreal.

Penduduk Quebec yang mahu makan di restoran, masuk ke bar, bersenam di gymnasium atau menyertai festival akan perlu menunjukkan bukti vaksinasi bermula 1 September, mengikut langkah baharu diperkenalkan wilayah itu awal minggu ini.

“Ia sepatutnya pilihan setiap individu sama ada mahu divaksin atau tidak. Dengan pasport in bermakna ia satu paksaan kepada kami untuk mendapatkan suntikan vaksin, kata Veronique Whalen, 31, yang datang bersama keluarga.

“Saya di sini kerana anak-anak saya. Ini diskriminasi,” katanya.

Beberapa wanita kelihatan memegang poster “Badan saya, pilihan saya”, iaitu slogan feminis yang popular sering dikaitkan dnegan gerakan hak menggugurkan kandungan.

Kadar vaksinasi di wilayah berkenaan di mana penduduknya berbahasa Perancis agak tinggi – dengan 84% penduduk Quebec menerima dos pertama dan 70% sudah melengkapkan dos. – AFP, 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen