304 maut gempa bumi landa Haiti


Orang ramai berjalan melepasi deretan rumah yang musnah akibat gempa bumi di Haiti semalam. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2021.

OPERASI mencari dan menyelamat mula dilakukan untuk mencari mangsa terselamat selepas gempa bumi kuat berskala 7.2 magnitud melanda Haiti semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 304 terbunuh.

Bangunan di negara Caribbean itu masih belum pulih sepenuhnya akibat gempa bumi pada 2010, turut musnah.

Pusat gegaran yang menggegarkan rumah hingga menyebabkan penduduk lari bertempiaran menyelamatkan diri bermula kira-kira 160km dari barat ibu negara Port-au-Prince.

“Banyak rumah musnah, penduduk maut dan ada yang berada di hospital,” kata Christella Saint Hilaire, 21, yang tinggal di Port-au-Prince.

“Saya berada di dalam rumah ketika gegaran mula berlaku, saya berada berhampiran tingkap dan nampak semua bangunan mula runtuh,” katanya.

Gegaran awal agak lama berlaku menyebabkan sekolah dan rumah di barat daya semenanjung Haiti musnah.

Agensi perlindungan awam negara itu berkata beberapa jam selepas gempa itu, jumlah kematian melonjak ke angka 304, berbanding laporan awal 29 kematian.

Agensi itu berkata ratusan yang lain cedera dan masih hilang dengan 160 terbunuh di selatan negara itu.

Haiti mengisytiharkan darurat berikutan bencana itu, sementara pegawai White House berkata Presiden Amerika Syarikat Joe Biden meluluskan bantuan dihantar serta merta. – AFP, 15 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen