Muhyiddin mengadap Agong Isnin, kata sumber


The Malaysian Insight

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikatakan mahu letak jawatan selepas parti pembangkang menolak tawaran tujuh reformasi sebagai ganti sokongan undi percaya perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.

MUHYIDDIN Yassin akan mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum tengah hari Isnin untuk menyerahkan surat peletakan jawatan perdana menteri, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan Muhyiddin mahu letak jawatan selepas parti-parti pembangkang menolak tawaran tujuh reformasi sebagai ganti sokongan undi percaya perdana menteri, yang beliau umum semalam.

“Tan Sri (Muhyiddin) sudah buat keputusan,” kata sumber yang maklum mengenai perkembangan di Putrajaya sejak awal minggu ini.

Sumber membayangkan keputusan Muhyiddin muktamad.

Sokongan Muhyiddin terhakis minggu lalu selepas Umno mengesahkan 14 ahli parlimennya menarik balik sokongan mereka sementara dua menteri letak jawatan daripada kabinet.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri yang tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat mempunyai dua pilihan sama ada memohon Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen atau letak jawatan.

Semalam Muhyiddin menawarkan tujuh pembaharuan sebagai balasan mendapatkan sokongan ahli parlimen pembangkang di Parlimen untuk pentadbirannya kekal selepas sejumlah ahli parlimen Umno menarik sokongan mereka.

Tawaran itu adalah cadangan reformasi kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, mengukuhkan institusi Parlimen dan menurunkan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Tawaran dibuat menjelang undian percaya kepada perdana menteri pada 7 September ketika kerajaan Muhyiddin kini dipercayai mempunyai hanya 100 sokongan daripada 220 anggota Dewan Rakyat.

Semua parti politik pembangkang kemudian mengeluarkan kenyataan media menolak tawaran berkenaan.

Seorang sumber lain memberitahu masih ada usaha menyelamatkan kerajaan minoriti Muhyiddin.

“Kalau jalan buntu Isnin letak jawatan,” kata sumber yang dekat dengan pejabat seorang menteri kanan.

Seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight, Muhyiddin akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu esok untuk memaklumkan keputusannya kepada mereka.

Petang tadi, beberapa pimpinan kanan Bersatu yang juga anggota Jemaah Menteri dilihat keluar dari rumah Muhyiddin di Bukit Damansara. Antara yang dilihat ialah menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Rina Harun, da Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu memberitahu wartawan mereka berada di rumah Muhyiddin untuk membincangkan “hal ehwal pengurusan parti.”

“Parti akan keluarkan kenyataan nanti,” katanya, tanpa mahu mengulas lanjut.

Wartawan berhimpun di perkarangan rumah Muhyiddin selepas muncul desas-desus beliau akan berundur dan menyerah tugas kepada timbalan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pegawai di pejabat timbalan perdana menteri bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight tidak perancangan “serah tugas” seperti itu.

“Tidak betul tu,” kata seorang pegawai Ismail.

Sementara itu, tiga pegawai di pejabat menteri di Putrajaya memberitahu mereka sedang bersiap-siap menghadapi kemungkinan mengosongkan pejabat sekiranya perdana menteri letak jawatan.

Pada Rabu, ketua-ketua parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri, susulan penarikan sokongan Umno.

The Malaysian Insight difahamkan mesyuarat dihadiri pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan PAS, sementara media melaporkan empat presiden parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) hadir.

Sumber memberitahu pemimpin parti komponen PN meyakinkan Muhyiddin untuk tidak letak jawatan. Mereka juga mahu Muhyiddin menghadapi undi percaya di Dewan Rakyat seperti ditetapkan pada September dan bukan lebih awal.

Muhyiddin jadi perdana menteri pada 1 Mac 2020 selepas percaturan politik menyingkirkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui negara selepas pilihan raya umum 2018.

Kerajaan PH jatuh selepas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi parti letak jawatan setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu pada 24 Februari 2020. – 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen