.jpg)
PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin perlu melepaskan jawatannya dengan kadar segera.
Keengganan Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan yang mana beliau wajib mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat malah, secara jelas mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Pengumuman Muhyiddin secara terbuka mendakwa blok pembangkang tidak mempunyai sokongan majoriti telah melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, adakah Muhyiddin sanggup menentang Yang di-Pertuan Agong hanya demi mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri?
Muhyiddin juga membohongi Yang di-Pertuan Agong dan rakyat bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti selain memberi alasan akan membuktikannya dalam sidang Parlimen pada September nanti.
Namun semalam, segalanya terbukti palsu apabila buat pertama kali dalam sejarah negara seorang Perdana Menteri terpaksa menabur ‘sogokan’ kepada pembangkang secara terbuka agar terus menerima sokongan sekaligus mengekalkan kuasanya.
Sedarlah Muhyiddin, permainan politik dengan mengkhianati Pakatan Harapan menerusi ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Februari 2020 akhirnya memakan diri.
Ternyata, kerajaan yang dibentuk dengan penuh pengkhianatan ini tidak mampu bertahan.
Muhyiddin perlu segara undur demi kesuburan demokrasi dan kesejahteraan rakyat negara ini yang bukan sahaja berdepan krisis kesihatan malah, kekusutan ekonomi dan sosial. – 14 Ogos, 2021.
* Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen