Presiden Afghanistan kerah tentera selepas Taliban hampiri Kabul 


Presiden Afghanistan Ashraf Ghani berkata rundingan akan dibuat bagi menamatkan peperangan di negara itu.– Gambar EPA, 14 Ogos, 2021.

PRESIDEN Ashraf Ghani pada Sabtu berkata mengerahkan pasukan tentera negara itu kini menjadi keutamaan, selepas kumpulan Taliban menghampiri ibu negara itu.

Beliau bagaimanapun tidak memberi bayangan untuk meletakkan jawatan atau mengambil tanggungjawab berhubung situasi semasa itu namun menyatakan rundingan akan dibuat bagi menamatkan peperangan di negara itu.

“Kerahan pasukan keselamatan dan tentera kita kini menjadi keutamaan, dan langkah serius akan diambil berhubung perkara ini,” katanya.

Namun Ashraf memberikan beberapa tawaran spesifik mengenai apa yang dirancang oleh pentadbirannya kerana kawalan kerajaan terhadap Afghanistan semuanya telah runtuh dalam beberapa hari lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas tentera AS kembali untuk mengawasi pemindahan tenteranya keluar dari Afghanistan dan kedutaan asing kini sibuk mengeluarkan semua kakitangan merkea dari negara itu atas faktor keselamatan.

Dengan bandar kedua dan ketiga terbesar negara itu kini jatuh ke tangan Taliban, Kabul menjadi kubu pertahanan akhir pasukan keselamatan kerajaan.

Kumpulan pemberontak itu kini mendirikan kem kira-kira 50 kilometer dari Kabul, menyebabkan Amerika Syarikat dan negara lain bertungkus lumus mengeluarkan warga mereka dari Kabul berikutan bimbang diserang.

Pertempuran turut dilaporkan di Mazar-i-Sharif, sebuah penempatan terpencil di utara negara itu yang mana bekas nbaib presiden Abdul Rashid Dostum menghimpunkan pasukan anti-pemberontaknya.

Bandar yang masih belum dikuasai Taliban adalah Jalalabad, Gardez, dan Khost, yang dikuasai etnik Pashtun.

Di Kabul, Kedutaan AS diarahkan untuk memusnahkan bahan sensitif, ketika pasukan tenteranya mula dihantar semula untuk mengawal keselamatan di lapangan terbang dan mengawasi proses pengeluaran warganya. – AFP, 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen