LEBIH sejuta penduduk disaran mencari tempat perlindungan apabila hujan lebat mencetus banjir dan tanah runtuh di barat Jepun pada Sabtu, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang mati dan dua lagi hilang.
Pihak berkuasa di Hiroshima dan bahagian utara pulau Kyushu mengeluarkan amaran keras ketika agensi kaji cuaca melaporkan tahap hujan yang belum pernah terjadi sebelumnya di kawasan itu.
Menerusi amaran itu, kira-kira 1.4 juta penduduk diminta meninggalkan kediaman mereka serta-merta, lapor badan penyiar kebangsaan NHK.
Rakaman televisyen menunjukkan pasukan penyelamat memindahkan penduduk menggunakan bot keselamatan di bandar Kurume di Fukuoka, manakala banjir lumpur mula melimpah di wilayah berdekatan Saga.
Seorang wanita berusia 59 tahun mati dan dua daripada ahli keluarganya hilang selepas tanah runtuh memusnahkan dua rumah di Unzen, wilayah Nagasaki, menurut seorang pegawai tempatan.
“Lebih daripada 150 tentera, polis dan ahli bomba dikerahkan ke tempat kejadian bagi usaha menyelamat,” kata Takumi Kumasaki kepada AFP.
“Mereka mencari penduduk yang hilang secara berhati-hati kerana bimbang mengenai tanah runtuh ketika hujan lebat turun tidak henti-henti.”
Hujan lebat diramal berlaku dalam tempoh beberapa hari lagi di sebahagian besar negara itu.
Pakar sains berkata, perubahan cuaca mencetus risiko hujan lebat di Jepun dan di tempat lain.
“Kami memantau tahap hujan lebat yang belum pernah terjadi sebelum ini,” kata Yushi Adachi, pegawai agensi meteorologi kepada wartawan di Tokyo.
Bulan lalu, hujan lebat menyebabkan tanah runtuh di bandar peranginan Atami yang membunuh 23 orang, dengan empat masih hilang. – AFP, 14 Ogos, 2021.
Komen