Kanada terima 20,000 pelarian Afghan lari dari Taliban


Jutaan rakyat Afghanistan kini hidup dalam ketakutan kerana Taliban mula menguasai bandar-bandar besar di negara itu. – Gambar AFP, 14 Ogos, 2021.

KANADA pada Jumaat berkata ia akan menerima sehingga 20,000 pelarian Afghan, termasuk pemimpin wanita, pekerja kerajaan dan kumpulan lain yang diancam Taliban, ketika pemberontak sedang bergerak pantas menakluk bandar utama di negara itu.

“Situasi di Afghanistan sangat menyedihkan dan Kanada tidak akan berdiam diri,” kata Menteri Imigresen Marco Mendicino pada sidang media.

Pelarian itu termasuklah “kumpulan rentan” warga Afghanistan yang masih berada di negara itu atau sudah melarikan diri ke negara jiran, serta pemimpin wanita dan pekerja kerajaan terdiri daripada aktivis hak asasi, kumpulan minoriti dan wartawan.

Beberapa buah pesawat yang membawa pencari suaka sudah berlepas dan pesawat pertama akan mendarat pada Jumaat di Toronto, kata Mendicino.

Ketika Taliban sedang bergerak menuju ke Kabul, pengawai berkata pasukan gerak khas Kanada sudah memulakan operasi membawa pulang kakitangan kedutaan Kanada, tetapi maklumat operasi tidak didedahkan.

Awal Jumaat lalu, banyak negara termasuk Sepanyol, Denmark, Norway dan Belanda mengumumkan pengeluarkan kakitangan mereka dari Afghanistan.

Kanada berkata ia sedang memantau situasi di Afghanistan “dengan rapat” dan bekerjasama dengan sekutunya di lapangan.

“Melindungi Kedutaan Kanada dan kakitangannya adalah keutamaan terpenting,” kata Menteri Luar Marc Garneau.

Di Twitternya, beliau berkata Kanada “terhutang budi kepada Afghanistan dan warganya dan akan meneruskan usaha menyelamatkan mereka.” – AFP,14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen