Politik tak stabil, Covid-19 dorong peserta MM2H batal visa


Khoo Gek San

Malaysia menjadi pilihan ramai warga asing untuk menetap selepas persaraan, tetapi kini berdepan cabaran hebat disebabkan ketidakstabilan politik dan gagal mengurus Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.

MEMBERIKAN sebab ketidakstabilan politik dan kelemahan pengurusan menangani wabak Covid-19, ramai peserta Malaysia Rumah Keduaku (MMH2) membatalkan visa dan kembali ke negara asal mereka, kata ejen.

Pemohon juga jemu dengan penangguhan program lebih setahun disebabkan penutupan sempadan negara untuk mengekang penularan koronavirus.

Ejen berkata warga asing itu kembali ke negara asal selepas menjual hartanah mereka ketika Putrajaya dalam proses menyemak dan memperhalusi dasar program itu.

Pada Rabu, Putrajaya mengumumkan yang program itu akan dihidupkan semula dengan Jabatan Imigresen dijangka mula memproses permohonan baharu bermula Oktober, langkah yang disertakan dengan 10 syarat baharu yang menurut ejen, “melampau”.

Pengarah Starcity Global Market, sebuah agensi MM2H,  Florence Ten berkata sejak tahun lepas, ramai pelanggannya meluahkan rasa kecewa ke atas cara kerajaan menangani pandemik, ketidakstabilan politik dan kelemahan dasar Covid-19.

“Ada warga asing yang pelik mengapa Malaysia tidak mampu mengawal pandemik sekarang sedangkan berjaya buat dengan baik apabila virus mula meledak tahun lepas,” kata Ten.

“Ada warga China yang pulang ke China yang berjaya mengawal pandemik dengan baik. Jadi mereka minta kami jual hartanah mereka di Malaysia.”

Ten berkata 80% mereka yang membeli hartanah di negara ini tinggal di situ. Ada juga yang tidak dapat kembali ke Malaysia untuk menguruskan hartanah mereka sebaik sahaja sempadan ditutup.

Katanya, terdapat sekurang-kurangnya 20 orang pemilik yang kini mahu menjual hartanah mereka.

Ten berkata ejen hartanah kini menyediakan lawatan virtual untuk hartanah disebabkan pandemik.

Malaysia yang dahulunya dianggap contoh terbaik mengawal pandemik kini masuk senarai antara negara di dunia paling gagal mengekang penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.

Antara Mac dan April, syarikat itu melakukan beberapa sesi lawatan virtual untuk sekurang-kurangnya 100 warga asing.

“Kami perlu masukkan sekali kos lawatan virtual. Kami berhenti buat iklan di surat khabar empat bulan lalu kerana warga asing tak lagi berminat.

“Kami cuba sekali lagi sebelum April. Saya tengok ekspo hartanah dalam talian dan di akhirnya kurang 10 orang turut serta.”

Ten berkata tiga orang pelanggan membuat keputusan tidak memperbaharui visa mereka dan pulang ke Hong Kong. Tambahnya, anak-anak pelanggan itu juga tidak akan pulang ke Malaysia untuk bersekolah di sini.

Penangguhan sementara program itu juga menyebabkan ramai warga Hong Kong memilih program rumah kedua di United Kingdom. Kesannya, Malaysia hilang ramai bakal pelanggan.

Program MM2H diwujudkan pada 2002, dengan 1,087 warga Hong Kong mendapat visa penduduk tetap. Hampir 50% visa dikeluarkan pada 2017 dan 2018 yang menggambarkan tanggapan baik warga Hong Kong kepada Malaysia.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan data terkini pembatalan visa MM2H dan masih menunggu jawapan.

Peserta MMH2 mula menjual hartanah mereka dan pulang ke negara asal disebabkan ketidakstabilan politik dan krisis kesihatan awam gagal dikekang di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.

Dalam setahun, tujuh keluarga batal visa

Perunding MM2H Kurt Tan berkata antara 2020 dan 2021, sekurang-kurangnya enam sehingga tujuh keluarga membatalkan visa mereka dan meninggalkan Malaysia.

“Berbanding dengan 2012 sehingga 2019, hanya ada satu atau dua yang batalkan visa dan kembali ke China.

“Dalam hanya setahun, berganda orang membatalkan bisa disebabkan pandemik yang tidak terkawal dan ketidakstabilan politik.”

Katanya lagi, ramai peserta merasakan mereka rugi dua tahun daripada visa 10 tahun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tambahan pula, China berjaya mengawal pandemik.

Ramai yang membatalkan visa dengan alasan mahu pulang ke negara asal mereka, tetapi menurut Tan mungkin ada sebab lain.

“Malaysia juga berdepan persaingan dengan negara lain di Asia Tenggara seperti Thailand dan Singapura. Penangguhan sementara program menyebabkan Malaysia hilang kelebihan daya saing,” tambah Tan.

Seorang peserta MM2H, Li dari Guang Zhou berkata beliau memegang visa itu selama lapan tahun tetapi kini membatalkannya kerana perubahan syarat dan terma.

Katanya, kerajaan Malaysia tidak memberi tumpuan kepada keperluan pemohonan dan gagal mengawal pandemik.

“Syarat utama saya untuk berhijrah ke negara lain adalah kerajaan perlu berintegriti dan kestabilan politik,” katanya. – 14 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen