Kanada wajibkan penjawat awam ambil vaksin Covid-19


Sebanyak 71% daripada 38 juta penduduk Kanada sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, sementara hampir 62% divaksinasi lengkap. – Gambar EPA, 14 Ogos, 2021.  

KERAJAAN Kanada mengumumkan pada Jumaat akan mewajibkan semua penjawat awamnya diberi vaksin Covid-19, ketika lonjakan kes virus kerana varian Delta.

“Kami tahu vaksin adalah cara terbaik untuk mengakhiri wabak ini,” kata Dominic LeBlanc, seorang menteri kerajaan yang bertanggung jawab terhadap birokrasi persekutuan Kanada.

“Kami berharap penjawat awam persekutuan mematuhi syarat wajib ini,” tambahnya.

Tarikh akhir imunisasi kira-kira 300,000 penjawat awam akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

LeBlanc berkata mandat vaksin “bertujuan untuk membantu Kanada mencapai tahap perlindungan minimum yang diperlukan untuk membuka kembali ekonomi sepenuhnya, dan memastikannya terus dibuka serta melindungi ribuan pekerja.”

Pada Jumaat, 71% daripada 38 juta penduduk Kanada telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, sementara hampir 62% divaksinasi lengkap.

Pengumuman itu dibuat kurang sebulan sebelum pembukaan semula sempadan Kanada kepada pelancong asing yang sudah divaksin, dijadualkan pada 7 September, satu setengah tahun selepas penutupan kerana wabak tersebut. – AFP, 14 Ogos, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen