ANGGOTA bomba Sepanyol berjaya mengawal kebakaran hutan di timur laut wilayah Catalonia pada Jumaat.
Cuaca panas yang melanda negara itu menyebabkan kebanyakan kawasan berisiko berlaku kebakaran hutan.
Kira-kira 100 anggota bomba bertungkus lumus sepanjang malam bagi mengawal kebakaran di wilayah Tarragona, yang memaksa 30 penduduk berpindah ke kawasan lebih selamat.
Kebakaran itu turut memusnahkan kira-kira 75 hektar hutan simpan, kata bomba Catalonia menerusi Twitter.
11 lori tangki air, sebuah helikopter dan dua pesawat pemadam kebakaran masih berada di tempat kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.
Selain itu, puluhan anggota bomba turut bertungkus lumus memadam kebakaran berhampiran pekan Rubia, di barat laut wilayah Galicia.
Setakat ini, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 200 hektar kawasan hutan.
Agensi kaji cuaca Sepanyol meramalkan hampir semua kawasan di negara itu berdepan risiko kebakaran susulan cuaca panas.
Hanya kawasan pesisir di utara dan timur wilayah Valencia yang mencatatkan risiko rendah atau sederhana. – AFP, 13 Ogos, 2021.
Komen