CHINA pada Jumaat menolak gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membuka semula kajian asal usul Covid-19, berkata ia menyokong usaha ilmiah berbanding politik.
Beijing sekali lagi ditekan supaya mempertimbangkan siasatan terbaharu terhadap pandemik yang telah membunuh lebih empat juta dan melumpuhkan ekonomi dunia sejak pertama kali muncul di Wuhan.
Pada Januari pasukan pakar WHO ke Wuhan untuk membuat laporan fasa pertama, yang dikarang bersama rakan-rakan mereka dari China. Ia bagaimanapun gagal memberikan perincian bagaimana virus itu bermula.
Pada Khamis WHO menggesa China berkongsi data mentah kes-kes Covid-19 paling awal bagi memudahkan penyiasatan semula penyelidikan mengenai asal-usul virus ini.
Namun negara komunis itu mengulangi pendirian penyelidikan sebelum ini sudah memadai, berkata seruan terbaharu dibuat atas faktor politik, bukannya saintifik.
“Kami tentang usaha politik… dan tinggalkan laporan bersama itu” yang dikeluarkan selepas lawatan pasukan pakar WHO ke Wuhan pada Januari, kata wakil menteri luar Ma Zhaoxu kepada wartawan, menambah “kami sokong usaha saintifik.”
Laporan itu berkata senario paling meyakinkan adalah virus berasal dari kelawar ke manusia melalui perantaraan, sementara maklumat mengenai kebocoran dari makmal virologi Wuhan “sangat tidak mungkin”.
Ma menolak usaha penyelidikan terbaharu itu.
“Kesimpulan dan cadangan laporan bersama WHO dan China diakui masyarakat antarabangsa dan komuniti saintifik,” katanya.
“Kerja pengesanan global di masa depan harus dan hanya dapat dilakukan lebih lanjut berdasarkan laporan ini, dan bukannya dengan kajian baharu.” – AFP, 13 Ogos, 2021.
Komen