PEMIMPIN gabungan pertubuhan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi merayu baginda supaya mengekalkan kerajaan sedia ada.
Pemimpin gabungan itu berkata, mereka bertindak demikian supaya pemimpin politik berhenti bertelingkah dan agar kerajaan dapat meneruskan usaha menangani pandemik.
Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa memberitahu wartawan, rayuan mewakili 175 NGO dan individu itu dipersembahkan dalam memorandum kepada baginda di Istana Negara pagi ini.
“(Kami) rayu Yang di-Pertuan Agong agar campur tangan dalam kemelut politik yang tidak berkesudahan ini.
“(Tindakan ini supaya) negara terus aman stabil dan harmoni dan dapat kekalkan terus kerajaan yang ada untuk teruskan tindakan tangani Covid-19 ini dengan sebaiknya sehingga ia terkawal.
“Kita juga rayu Yang di-Pertuan Agong supaya nasihati semua pemimpin politik ini agar fokus kepada keadaan pada hari ini agar kita pastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat terkawal.”
Beliau bercakap kepada pemberita di luar Istana Negara selepas mempersembahkan memorandum tersebut kepada baginda.
NGO berkenaan bertindak demikian sewaktu Muhyiddin kini ditekan untuk meletak jawatan kerana dipercayai hanya menguasai sokongan 100 daripada 222 ahli Dewan Rakyat. – 13 Ogos, 2021.
Komen