AMERIKA Syarikat pada Khamis meluluskan dos tambahan vaksin Covid-19 bagi individu dengan sistem kekebalan tubuh yang lemah, ketika negara itu berusaha mengekang varian Delta.
Kelulusan untuk tujuan kecemasan suntikan ketiga vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) negara itu.
“Negara kini berhadapan gelombang pandemik Covid-19 yang lain, dan FDA sedar individu yang mengalami terimunokompromi sangat berisiko mendapat penyakit yang teruk,” kata pemangku Pesuruhjaya FDA Janet Woodcock dalam satu kenyataan.
“Individu lain yang diberi vaksin sepenuhnya dilindungi dengan secukupnya dan tidak perlukan dos tambahan vaksin Covid-19 buat masa ini,” tambahnya.
FDA berkata dos tambahan adalah untuk penerima pemindahan organ atau mereka yang ada sistem imunisasi yang lemah.
Pihak berkuasa kesihatan AS telah membahaskan sama ada dos ketiga mungkin diperlukan, berikutan tindakan serupa oleh Israel.
Lebih 619,000 orang maut di Amerika Syarikat akibat Covid-19, dengan jumlah kes meningkat dengan mendadak dalam beberapa bulan terakhir disebabkan varian Delta.
Program vaksinasi pesat di negara itu perlahan terutama di kawasan konservatif politik di Selatan dan Midwest, dan dalam kalangan orang muda, mereka yang berpendapatan rendah dan kaum minoriti. – AFP, 13 Ogos, 2021.
Komen