PULUHAN ribu penduduk digesa untuk berpindah pada Jumaat ketika tahap hujan lebat yang belum pernah terjadi sebelum ini melanda barat Jepun, meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh, kata agensi cuaca itu.
Hujan lebat dijangka berterusan selama beberapa hari di beberapa kawasan, dari utara Tohoku hingga Kyushu di selatan.
“Ada kemungkinan bencana besar akan terjadi” dalam beberapa hari mendatang, seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memberitahu sebuah sidang media kecemasan yang disiarkan secara langsung di NHK.
Di bandar Unzen di wilayah selatan Nagasaki, dua rumah dilanda tanah runtuh dengan seorang wanita berusia 50-an dipercayai maut, kata seorang pegawai tempatan kepada AFP.
Hujan paling lebat di wilayah Hiroshima, di mana arahan berpindah tidak wajib dikeluarkan kepada sekurang-kurangnya 69,500 orang dan amaran banjir paling tinggi diumumkan.
Di Hiroshima, “kami telah keluarkan amaran hujan lebat. Ini adalah tahap hujan lebat yang belum pernah kami alami sebelum ini,” kata JMA dalam satu kenyataan.
Pegawai agensi itu juga menyebut hujan di beberapa kawasan “belum pernah terjadi sebelum ini”.
Kementerian tanah memperingatkan paras air sangat tinggi di tiga sungai - dua mengalir melalui wilayah Hiroshima, dan satu di selatan Kumamoto.
Para saintis berkata perubahan iklim semakin meningkatkan risiko hujan lebat di Jepun dan di tempat lain kerana atmosfera menakung lebih banyak air.
Hujan lebat bulan lalu menyebabkan tanah runtuh dahsyat di pusat peranginan Atami mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang.
Pada 2018, lebih 200 orang maut ketika banjir melanda barat Jepun semasa musim hujan tahunan negara itu.
Pada Jumaat, JMA berkata dalam 24 jam dari pukul 6 pagi hari Jumaat, hujan 300 milimeter dijangka di bahagian utara Kyushu, dengan ramalan 200 hingga 250 milimeter di banyak bahagian lain di negara tersebut. – AFP, 13 Ogos, 2021.
Komen