Israel buat ujian Covid-19 terhadap kanak-kanak


Ujian Covid-19 akan dibuat terhadap kanak-ka nak Israel berusia tiga tahun ke atas bagi memudahkan mereka masuk ke skolah, gim, kolam renang dan tempat awam berkaitan. – Gambar AFP, 13 Ogos, 2021.

MULAI minggu depan Israel akan membuat ujian Covid-19 untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas sebelum masuk sekolah, kolam renang, hotel atau gim.

Israel sudah mewajibkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas menunjukkan Green Pass yang diperkenalkan semula akhir bulan lalu, bagi membuktikan status vaksinasi dan ujian seseorang sama ada mereka telah pulih dari Covid-19 atau tidak.

Perdana Menteri Naftali Bennett berkata bermula Rabu depan negara Yahudi itu akan membiayai ujian tanpa had kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun.

Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom berkata ia telah membuka 120 pusat ujian antigen di seluruh negara.

Pemeriksaan di stesen itu berharga sekitar 17 Euro, membolehkan mereka diuji mendapatkan Green Pass sah sehingga 24 jam.

Lewat Khamis, Bennett mengumumkan Israel juga menurunkan had usia kempen vaksinasi penggalaknya dari 60 hingga 50 tahun.

“Kempen untuk vaksinasi penduduk berusia 60 tahun ke atas adalah kejayaan besar… Ini langkah penting memerangi varian Delta dan saya menyeru semua orang berusia lebih 50 tahun untuk hadir pada Jumaat pagi bagi mendapat vaksin,” kata Perdana Menteri Israel itu dalam satu kenyataan.

Vaksinasi penggalak yang ditawarkan Israel dan beberapa negara lain telah mendapat kritikan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengatakan keutamaan harus memberikan inokulasi standard kepada semua orang.

Israel juga telah mengumumkan kuarantin wajib bagi pelancong, diberi vaksin atau tidak, yang tiba dari kebanyakan negara di dunia mulai Isnin.

Sebagai negara dengan sembilan juta penduduk, Israel salah satu yang pertama melancarkan kempen vaksinasi di seluruh negara pada Disember, hasil perjanjian dengan Pfizer.

Kesepakatan itu memberi Israel akses cepat kepada berjuta-juta suntikan sebagai pertukaran data perubatan mengenai kesan vaksin.

Kempen itu menyaksikan kadar jangkitan merosot, yang memungkinkan Israel meneruskan rutin normal, dengan sekolah, bar dan tempat konsert dibuka.

Bagaimanapun, varian Delta menyebabkan peningkatan kes ke tahap yang tidak dapat dijangka sejak Februari.

Kementerian kesihatan negara itu berkata pada Khamis ia telah merekodkan 5,946 kes baharu pada hari sebelumnya.

Secara keseluruhan, ia telah mencatatkan 921,083 kes dengan 6,593 kematian sejak pandemik bermula awal tahun lalu. – AFP, 13 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen