ENAM orang termasuk lelaki disyaki bersenjata, maut pada Khamis berikutan “insiden senjata api serius” di Plymouth, United Kingdom kata polis.
Laporan juga menyebut seorang mangsa merupakan kanak-kanak bawah 10 tahun.
Polis Devon dan Cornwall mengisytiharkan “kejadian kritikal” di kawasan Keyham di Plymouth pada Khamis selepas tembakan itu, namun kemudiannya berkata ia tidak berkait dengan keganasan.
Pegawai bertindak bersama dengan perkhidmatan kecemasan lain, termasuk kakitangan ambulans udara terhadap laporan tembakan di kawasan perumahan berhampiran pelabuhan.
“Dua wanita dan dua lelaki maut di tempat kejadian,” kata Polis Devon dan Cornwall dalam satu kenyataan pada awal pagi Jumaat.
Tambah polis, seorang lelaki lain - dipercayai lelaki bersenjata itu - juga ditemui mati berhampiran sementara seorang wanita yang dirawat di tempat kejadian meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian.
“Semua dipercayai maut akibat luka tembakan,” kata pasukan itu.
Tidak lama selepas polis mengesahkan jumlah kematian, ahli Parlimen Luke Pollard melaporkan salah seorang yang terbunuh “adalah kanak-kanak di bawah umur sepuluh tahun”.
“Lebih ramai orang dirawat di hospital kerana cedera,” kata Ahli Parlimen Buruh itu.
“Sangat mengerikan. Takziah dan doa saya buat keluarga.” – AFP, 13 Ogos, 2021.
Komen