PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa China berkongsi data mentah kes Covid-19 yang mula-mula dikesan di negara itu, supaya siasatan lanjut mengenai asal usul wabak dapat dijalankan.
WHO menegaskan data tersebut amat penting untuk membongkar asal usul virus yang kali pertama dikesan di bandar Wuhan, China pada Disember 2019.
Sehingga kini, seramai 4.3 juta orang maut akibat pandemik Covid-19 dan menjejaskan ekonomi global.
WHO menggesa supaya semua data dan akses yang diperlukan diberi secepat mungkin agar kajian-kajian seterusnya dapat dimulakan segera.
Selepas banyak kali ditangguh, sepasukan pakar antarabangsa WHO berlepas ke Wuhan pada Januai lalu untuk menjalakan siasatan fasa pertama bersama rakan sejawat di China.
Laporan siasatan yang dikeluarkan pada Mac itu bagaimanapun menyebut tiada kesimpulan kukuh dapat dibuat, sebaliknya hanya menggariskan empat hipotesis.
Siasatan mendapati virus tersebut berkemungkinan berpindah daripada kelawar kepada manusia melalui haiwan perantara, manakala dakwaan kebocoran makmal virologi di Wuhan pula dilihat sebagai :amat mustahil”.
Siasatan itu dikritik kerana kurang telus dan tiada akses mencukupi, malah tidak mengkaji teori kebocoran makmal dengan lebih mendalam. – AFP, 13 Ogos, 2021.
Komen