Trudeau cadang pilihan raya pada September, kata laporan


Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dijangkan akan membuat pengumuman pada Ahad, lapor media tempatan. – Gambar AFP, 13 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Kanada Justin Trudeau bercadang pilihan raya baharu diadakan pada September, lapor media, di tengah-tengah kebimbangan terhadap pandemik Covid-19.

Trudeau dijangkan akan membuat pengumuman pada Ahad.

CBC dan media tempatan lain memetik sumber menyebut Trudeau akan meminta Gabenor Jeneral Mary Simon membubarkan Parlimen dan umum pilihan raya diadakan pada 20 September.

Trudeau, yang dilantik sebagai perdana menteri pada 2015, membentuk kerajaan minoriti selepas hilang majoriti pada pilihan raya 2019. Pegawai-pegawai Trudeau sejak beberapa bulan lalu berkata parti Liberal pimpinannya menggesa supaya pilihan raya diadakan sebelum hujung 2021, iaitu dua tahun lebih awal dari jadual.

Pembangkang bagaimanapun menggesa gabenor jeneral supaya menolak permintaan Trudeau untuk mengadakan pilihan raya ketika pandemik Covid-19.

“Justin Trudeau mahu berlagak seperti pandemik sudah berakhir… belum, dan rakyat masih bimbang.

“Kalau Justin dengar suara rakyat dan kebimbangan mereka, dia tidak pentingkan diri untuk adakan pilihan raya,” kata pemimpin Parti Demokrat Baru Jagmeet Singh kepada pemberita.

Jagmeet juga mengingatkan Justin mengenai amaran pihak berkuasa kesihatan mengenai lonjakan kes di seluruh negara meski kadar vaksinasi meningkat.

Tinjauan terbaru oleh Abacus Data parti Liberal dijangka dengan mudah memperoleh 37% undian sekiranya pilihan raya diadakan sekarang, manakala Parti Konservatif dengan 28% dan  Parti Demokrat Baru pula 20%.

Abacus melalui tinjauannya juga mendapati 38% rakyat Kanada bersedia untuk mengundi pada musim luruh, manakala 17% tidak bersetuju.

Bagaimanapun, satu daripada lima pengundi, termasuk penyokong Liberal, akan membantah dan tidak akan mengundi parti itu sekiranya pilihan raya diadakan ketika kes Covid-19 masih melonjak. – AFP, 13 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen