MUDA akan meneruskan tindakan undang-undang yang diambil terhadap Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) menolak rayuan mereka untuk didaftarkan sebagai parti politik secara rasmi, kata naib presiden parti itu Lim Wei Jiet.
Lim berkata mereka akan mencabar keputusan menteri dalam negeri di mahkamah dan berharap untuk mendapatkan keadilan.
“Taktik kotor kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan menjejaskan semangat kami untuk terus menjadi pemantau periksa dan imbang terhadap kegagalan serta pemikiran cetek kepimpinan yang wujud hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas berkenaan pasukan undang-undang Hamzah yang mengumumkan pendaftaran Muda ditolak sebelum kes mahkamah hari ini.
“Kes semakan penghakiman difailkan Muda terhadap menteri dalam negeri dan RoS sepatutnya pada 12 tengah hari hari ini.
“Tetapi beberapa minit sebelum prosiding bermula, peguam persekutuan memaklumkan menteri dalam negeri sudah pun membuat keputusan berhubung rayuan pendaftaran Muda.”
Beliau berkata perbicaraan ditangguhkan ke 2.30 petang pada 18 Ogos.
“Muda dimaklumkan menerusi emel daripada RoS iaitu menteri dalam negeri menolak rayuan pendaftaran Muda. Tiada sebab diberikan.
“Sepanjang masa ini, Muda memberikan kerjasama penuh kepada Hamzah dan RoS,” kata Lim.
Beliau berkata Muda membincangkan semua isu berkaitan perlembagaan atau dokumentasi pendaftaran dengan RoS dan semua pindaan diperlukan sudah dibuat.
“Muda sangat kesal dengan kelewatan yang tidak munasabah untuk menteri dalam negeri membuat keputusan ini.
“Muda sudah memfailkan pendaftaran sejak hampir setahun lalu iaitu pada 17 September. Rayuan kepada menteri dibuat enam bulan lalu pada 4 Februari.
“Namun keputusan untuk menolak rayuan Muda hanya dimaklumkan pada hari kes kami di mahkamah, beberapa minit sebelum prosiding bermula.”
Lim berkata “masa” keputusan menteri itu dibuat menunjukkan pihak berkuasa berkenaan hanya mahu melengahkan pendaftaran Muda selama yang boleh.
Sepucuk surat ditandatangani oleh Hamzah turut diberi memaklumkan pendaftaran Muda ditolak Kementerian Dalam Negeri.
Muda diasaskan oleh bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – 12 Ogos, 2021.
Komen