KUMPULAN pertama vaksin Covid-19 berjumlah 1.7 juta dos yang dibekalkan China menerusi pelan Covax selamat tiba di Bangladesh kelmarin.
Penasihat Institut Epidemiologi, Kawalan Penyakit dan Penyelidikan (IEDCR) Bangladesh Mushtaq Hossain berkata bantuan vaksin tersebut amat penting dalam membantu melancarkan lagi program vaksinasi di Bangladesh.
Sementara itu Pakistan menerima bekalan pertama membabitkan 970,000 dos vaksin Covid-19 pada pagi semalam.
Perikatan Global untuk Vaksin dan Imunisasi (GAVI) pada Julai mengumumkan pihaknya menandatangani perjanjian tempahan awal dengan syarikat Sinopharm dan Sinovac untuk membekalkan vaksin Covid-19 kepada negara membangun melalui Covax.
Menurut perjanjian itu, dua syarikat China tersebut akan menyalurkan 110 juta dos vaksin Covid-19 kepada Covax menjelang penghujung Oktober.
Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, kadar vaksinasi di negara berpendapatan tinggi dicatatkan sebanyak 51.15%, manakala negara berpendapatan rendah pula sekadar 1.36 peratus setakat awal bulan ini. – Bernama, 12 Ogos, 2021.
Komen