SEBANYAK 118 syarikat runcit Filipina menyertai Hari Jualan Dalam Talian Asean (AOSD) kali kedua yang diadakan baru-baru ini dan menggunakan peluang platform e-dagang untuk mempromosi serta meningkatkan jualan.
Daripada jumlah itu, 56 syarikat menyasarkan negara jiran Asean dan syarikat yang mengambil bahagian terdiri daripada pelbagai sektor meliputi makanan dan minuman, pelancongan dan perjalanan, fesyen, e-pasar, barangan pengguna, kraf dan kelangkapan rumah, menurut kenyataan Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina di Kuala Lumpur (DTI) kepada Bernama.
Turut mengambil bahagian perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan produk termasuk makanan ringan, barangan segar, coklat, kopi, kosmetik, barang tenunan, dan hiasan rumah.
“Ketika kita mengejar pemulihan ekonomi dan membangun dengan lebih baik pada era pasca pandemik, marilah kita memanfaatkan e-dagang untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi kita.
“Penyertaan dalam AOSD tahun ini akan membolehkan kami mencipta “Better Normal” dengan memanfaatkan faedah e-dagang di rantau ini,” kata Setiausaha Perdagangan Filipina, Ramon M. Lopez menerusi kenyataan itu. .
Menurut DTI, e-dagang menyumbang 3.4% atau AS$412 bilion (P$500 bilion) untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2020.
Filipina menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan menerusi e-dagang menjadi AS$17 bilion (P$850 bilion) atau 4.3 peratus daripada KDNK menjelang 2021 dan AS$24 bilion (P$1.2 trilion) atau 5.5% daripada KDNK pada 2022.
Jualan dalam talian selama tiga hari dari 8 hingga 10 Ogos di https://onlineasean.com itu menawarkan potongan sehingga 50% kepada pengguna untuk pelbagai produk.
AOSD diadakan sebagai sebahagian acara untuk meraikan ulang tahun penubuhan Asean dan perpaduan di antara negara anggotanya.
Selain itu, ia bertujuan memberikan peluang untuk menjual, memudahkan e-dagang rentas sempadan di Asean, meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap e-dagang, dan mendorong pemulihan ekonomi.
Dimulakan tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, AOSD adalah acara beli-belah dalam talian pertama yang dilakukan secara kolektif untuk mempromosikan produk dan meningkatkan jualan melalui platform e-dagang.
Acara itu diselaraskan oleh Jawatankuasa Penyelaras E-dagang Asean (ACCEC) dan dilaksanakan dalam dua tahap.
Tahap satu diperuntukkan untuk urus niaga domestik, dengan perniagaan dan platform e-dagang terkemuka di 10 negara Asean melancarkan rangkaian program diskaun khas kepada pengguna di negara tersebut.
Sementara Tahap dua pula untuk transaksi rentas sempadan, membolehkan syarikat dan platform berkoordinasi serta melaksanakan program beli-belah dalam talian rentas sempadan di antara negara Asean. – Bernama, 12 Ogos, 2021.
Komen