BANK-BANK antarabangsa di Hong Kong bimbang dengan rancangan CHina meluaskan undang-undang antisekatan, risau hubungan antara Beijing dan kuasa Barat merosot, kata penganalisis dan sumber.
Sebagai hab kewangan dengan sistem perundangan yang dihormati di peringkat antarabangsa, Hong Kong telah lama memasarkan dirinya sebagai pintu masuk perniagaan yang boleh dipercayai ke China.
Bagaimanapun ketegangan geopolitik selain tindakan keras China terhadap perbezaan pendapat di bandar itu menjadikan suasana perniagaan kurang lancar sejak dua tahun terakhir ini.
Malah dikatakan ianya akan jadi lebih rumit.
Pada Jun, China meluluskan undang-undang antisekatan sebagai tindak balas terhadap hukuman Amerika Syarikat dan Eropah yang mengkritik tindakan Beijing terhadap Hong Kong dan masyarakat Uighur Muslim di Xinjiang.
Kuasa undang-undang itu termasuk menafikan visa, menghantar pulang, atau merampas aset mereka yang menentang sekatan terhadap perniagaan atau pegawai China.
Syarikat luar boleh disaman di mahkamah China kerana mengikuti sekatan malah ahli keluarga juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Pada awal minggu ini, ketua eksekutif Hong Kong, Carrie Lam mengesahkan undang-undang antisekatan akan segera dilaksanakan di hub kewangan itu melalui beberapa bentuk.
Perniagaan antarabangsa, khususnya bank, kini berusaha mencari penyelesaian buat mereka, bimbang mereka akan terjebak dalam kancah pertembungan antara rejim.
“Jika undang-undang itu dipandang serius, ia boleh jadi masalah besar andai kata bank-bank di Hong Kong perlu kuat kuasa sekatan Amerika Syarikat, yang kemudiannya akan menghadapi pendakwaan di Hong Kong kerana menguatkuasakan sekatan tersebut,” kata Julian Ku, pakar dalam undang-undang antarabangsa di Hofstra Universiti kepada AFP. – AFP, 12 Ogos, 2021.
Komen