IBU negara Australia, Canberra diletakkan di bawah perintah sekatan pergerakan selama tujuh hari pada Khamis, selepas satu kes Covid-19 dikesan.
Kira-kira 400,000 orang di pusat politik negara itu terpaksa tinggal di rumah dari jam 5 petang waktu tempatan, bersama jutaan penduduk lain yang mengalami sekatan sama di tenggara Australia.
“Ini adalah risiko kesihatan awam paling serius yang kita hadapi tahun ini, sejak awal wabak,” kata Ketua Menteri Wilayah Ibu Negara Australia, Andrew Barr.
Beliau menambah individu yang positif Covid pernah berada di dalam komuniti semasa dijangkiti.
Canberra tidak dikenakan sekatan sejak penutupan seluruh negara pada peringkat awal wabak pada 2020.
Selepas berbulan cuba mencapai strategi “Covid zero”, Australia bergelut mengekang beberapa penularan varian Delta yang sangat mudah berjangkit.
Lebih 10 juta penduduk di bandar-bandar terbesar di negara ini, Melbourne dan Sydney, kini di bawah sekatan pergerakan ketika pihak berkuasa berusaha menurunkan angka kes.
Sebahagian besar negara bahagian barat New South Wales juga dikenakan sekatan pada Rabu malam, ketika kebimbangan penduduk pribuminya dikhuatiri lebih mudah dijangkiti koronavirus.
“Saya meminta semua komuniti Orang Asli agar terus tinggal di rumah, datang menjalani ujian jika anda mempunyai simptom dan dapatkan vaksin secepat mungkin,” kata Marianne Gale dari New South Wales Health.
Di Sydney yang menjadi pusat wabak, hampir 6,500 kes dan 36 kematian direkodkan sejak kluster dikesan pada pertengahan Jun.
Bandar ini dijangka menjalani sekurang-kurangnya sembilan minggu arahan tinggal di rumah, dengan beberapa kawasan pinggir bandar diletakkan di bawah sekatan lebih ketat pada Khamis.
Australia menerima pujian global susulan tindakannya yang berjaya mengekang virus di peringkat awal wabak ini, dan sebahagian besar penduduk menikmati sekatan lebih longgar pada akhir 2020.
Tetapi vaksinasi glasial tidak sesuai dengan varian Delta, menyebabkan banyak bandar dan pekan bergantung kepada penutupan berulang ketika berusaha membasmi virus.
Australia mencatatkan lebih 37,500 kes kematian Covid-19 dan 946 berkaitan dengannya dalam populasi 25 juta. – AFP, 12 Ogos, 2021.
Komen