Maghribi, Israel meterai perjanjian dalam lawatan bersejarah


Menteri Luar Maghribi Nasser Bourita (kanan) dan Yair Lapid (kiri) dari Israel hari ini menandatangani perjanjian rundingan politik, penerbangan dan budaya selepas tahun lalu kedua-dua negara itu menormalisasikan hubungan mereka. – Gambar AFP, 12 Ogos, 2021.

PARA menteri luar Maghribi dan Israel memeterai tiga perjanjian pada Rabu dalam lawatan pertama oleh pegawai tinggi negara Yahudi itu sejak hubungan dinormalkan tahun lalu.

Nasser Bourita dan Yair Lapid dari Israel menandatangani perjanjian rundingan politik, penerbangan dan budaya.

Lapid memberitahu wartawan, perjanjian itu akan “membawa inovasi dan peluang negara kita untuk kebaikan anak-anak kita bagi tahun-tahun mendatang.”

Tahun lalu Israel dan Maghribi membuat perjanjian selepas presiden Amerika Syarikat ketika itu Donald Trump mengiktiraf kedaulatan Maghribi di Sahara Barat.

“Hari ini, kita pulihkan keamanan dan persahabatan,” kata Lapid.

Maghribi merupakan negara Arab keempat yang menjalin hubungan dengan Israel tahun lalu menyusuli Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Sudan.

Langkah itu ditentang rakyat Palestin, kerana menghancurkan konsensus Arab yang tidak perlu adanya normalisasi sehingga Israel bersetuju menjamin perdamaian yang komprehensif dan berkekalan.

Semasa perbincangannya dengan Lapid, Bourita berkata keadaan di Israel dan wilayah Palestin turut dibangkitkan.

“Raja Mohammed VI menegaskan perlunya memecahkan kebuntuan yang ada sekarang dan melanjutkan rundingan sebagai satu-satunya cara untuk mencapai penyelesaian berdasarkan dua negara yang berkongsi sempadan 1967,” kata Bourita.

Raja telah meyakinkan presiden Palestin Mahmud Abbas setelah hubungan normalisasi bahawa Maghribi akan terus menyokong perjuangan Palestin.

“Sangat penting agar tindakan diambil hari ini bagi mengembalikan keyakinan dan menjaga keamanan bagi membuka hubungan politik terhadap konflik Israel-Palestin,” kata Bourita.

Lapid berkata beliau lebih suka menumpukan perhatian pada normalisasi hubungan antara Israel dan negara-negara Arab.

“Sesuatu sedang berlaku di wilayah ini,” katanya. – AFP, 12 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen