Jangan dakwa individu cuba bunuh diri, kata Kit Siang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata kerajaan harus bertindak cepat dengan mempertimbangkan kadar bunuh diri dan percubaan bunuh diri yang tinggi di negara ini kesan dari wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2021.

KERAJAAN harus menunjukkan rasa simpati kepada mereka yang cuba membunuh diri dan bukannya mendakwa mereka, kata Lim Kit Siang hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk mempercepat tindakan perundangan bagi mendekriminalisasi percubaan bunuh diri yang ditangguhkan sejak 2019.

Beliau berkata, kerajaan harus bertindak cepat dengan mempertimbangkan kadar bunuh diri dan percubaan bunuh diri yang tinggi di negara ini kesan dari wabak Covid-19.

“Walaupun ada banyak perbincangan tentang mendekriminalisasi percubaan bunuh diri, tuduhan jenayah tetap dilakukan terhadap mereka yang cuba membunuh diri walaupun apa yang paling diperlukan adalah bantuan psikiatri dan tidak boleh dianggap sebagai penjenayah.

“Saya meminta kerajaan untuk menunjukkan simpati dan empati serta mengumumkan penangguhan segera dan menghentikan semua pendakwaan kes percubaan bunuh diri yang belum selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Kadar bunuh diri di Malaysia meningkat susulan ramai yang kekurangan sokongan kewangan dan emosi yang perlu ditanggung semasa krisis semasa.

Menurut data polis, terdapat peningkatan besar dalam kes bunuh diri tahun ini dengan kebanyakannya melibatkan wanita dan remaja.

Angka itu menunjukkan lebih ramai individu membunuh diri dalam lima bulan pertama tahun ini berbanding 50% dari jumlah keseluruhan setiap tahun sejak 2019.

Jumlah kes yang melibatkan wanita adalah lima kali lebih tinggi daripada lelaki sepanjang tempoh tersebut.

Sebanyak 468 kes didapati berlaku dari Januari hingga Mei tahun ini berbanding 609 kes untuk keseluruhan tahun 2019 dan 631 kes pada 2020.

Percubaan membunuh diri adalah jenayah di Malaysia yang boleh dihukum penjara atau denda mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Kerajaan mengumumkan bahawa pemansuhan sedang dipertimbangkan pada Disember 2019 tetapi sejak itu tidak ada sebarang kemas kini. – 12 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen