Selepas 500 tahun, semangat Aztec terus mekar di Mexico


Seorang lelaki memakai Penacho sebelum melakukan tarian Aztec di dataran Zocalo di Mexico City. Tradisi tarian, gastronomi dan bahasa bertahan di Mexico 500 tahun setelah kejatuhan Mexico-Tenochtitlan kepada penakluk Sepanyol. – Gambar AFP, 12 Ogos, 2021.

PENYEMBUH tradisional dan penari yang memakai pakaian berwarna-warni dan hiasan kepala berbulu dan cat badan membuat upacara kuno di tengah-tengah bandar Mexico bagi mengekalkan semangat Aztec sejak lima abad ditakluk Sepanyol.

Pada Jumaat, pihak berkuasa Mexico akan memperingati ulang tahun ke-500 kejatuhan Tenochtitlan, ibu kota Aztec kepada penakluk dan sekutu peribumi mereka.

Bagaimanapun Sergio Segura Octocayohua dan yang lain sepertinya berusaha untuk melestarikan budaya Aztec, merancang perayaan mereka sendiri sehari sebelumnya bagi menghormati kepahlawanan pejuang yang mempertahankan bandar itu.

“Walaupun telah diputarbelitkan, identiti, falsafah dan sejarah kami terus berjalan,” kata Octocayohua semasa berehat daripada mengawasi ritual penyembuhan di daerah bersejarah di bandar Mexico.

“Kami tidak lagi berperang dengan senjata. Sekarang kami bertarung dengan kata-kata, identiti dan tarian,” kata wanita berusia 58 tahun itu.

Di sekitar, orang ramai dari semua lapisan umur melakukan koreografi bergantian, pergerakan energik anggota badan mereka, diserlahkan oleh bulu berwarna-warni dan bunyi gemerincing yang diikat di kaki.

Ramai pelancong berhenti menonton - ada yang menjeritkan “Ini Mexico!” - ketika irama huehuetl, sebuah gendang tradisional, dicampur dengan aroma kemenyan dan bau jagung dari makanan jalanan.

Orang ramai dari semua lapisan umur melakukan koreografi bergantian, pergerakan energik anggota badan mereka, diserlahkan oleh bulu berwarna-warni dan bunyi gemerincing yang diikat di kaki. – Gambar AFP, 12 Ogos, 2021.

“Tiba-tiba mereka nampak kami dan berkata ‘oh, wah, adakah mereka masih hidup? Peliknya!’” Penari veteran dan pemandu pelancong Tezcatlipoca, berkata dengan sayu.

“Melihatnya sebagai persembahan bagus sebab menunjukkan ianya belum mati,” tambahnya yang berusia 70 tahun itu.

Ritual tarian dan penyucian di lokasi ibu kota Aztec kuno memberi gema kuat bagi mereka yang ingin menjaga tradisi buat generasi akan datang.

“Ini adalah salah satu tempat dengan tenaga kosmik yang paling banyak, tetapi ia mesti dibersihkan kerana ia juga telah menyaksikan banyak pertumpahan darah,” kata Octocayohua.

Dia melihat penaklukan oleh Sepanyol, dengan pertempuran dan pembunuhan beramai-ramai, sebagai penghinaan.

Tarian, berdasarkan pergerakan bulan dan matahari, adalah manifestasi yang paling visual dari gerakan spiritual dan falsafah yang berkembang yang bercita-cita untuk mengembalikan kegemilangan warisan Aztec.

“Tarian adalah cara untuk memahami nilai dan pandangan mereka terhadap kosmos,” kata Ocelocoatl Ramirez, yang yayasannya Zemanauak Tlamachtiloyan berusaha untuk melestarikan budaya orang asal.

“Tujuannya adalah untuk berkongsi dengan orang ramai, untuk membuat sesuatu dalam masyarajat,” tambah Ramirez, yang selama beberapa dekad menjadi pengarah kepada para peminat yang menari di tengah aroma tumbuhan perubatan. – AFP, 12 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen