SEBUAH helikopter dengan 16 penumpang, kebanyakannya pelancong, terhempas di semenanjung Kamchatka di timur Rusia pada Khamis, kata kerajaan tempatan.
Helikopter Mi-8 terhempas di Tasik Kuril di kawasan hutan simpan Kronotsky, katanya dalam satu kenyataan.
Menurut maklumat awal, “terdapat tiga anak kapal dan 13 penumpang”, semuanya pelancong, tambahnya.
Justeru 40 penyelamat dan penyelam dikerahkan ke tempat kejadian.
Menurut sumber kementerian kesihatan tempatan, sembilan orang telah diselamatkan.
“Sembilan orang telah dijumpai, mereka semua masih hidup,” kata sumber itu kepada agensi berita Interfax, menambah operasi pencarian masih diteruskan.
Nasib tujuh orang yang belum ditemui masih belum diketahui.
Siasatan telah dibuka kerana melanggar peraturan keselamatan udara, kata Jawatankuasa Penyiasatan Rusia, yang menangani siasatan kemalangan udara.
Helikopter Vityaz-Aero itu mengangkut para pelancong ke Khodutka, sebuah gunung berapi berhampiran bandar Petropavlovsk-Kamchatsky.
Kamchatka merupakan wilayah luas dengan sediki penduduk tetapi dikunjungi pelancong menikmati suasana gunung berapi dan pemandangannya.
Pada awal Julai, sebuah pesawat dari sebuah syarikat kecil tempatan terhempas di semenanjung, mengorbankan 19 orang.
Rusia mempunyai rekod keselamatan udara yang buruk tetapi sejak tahun 2000 telah meningkatkan standard penerbangannya.
Syarikat penerbangan utama negara telah beralih dari pesawat Soviet yang uzur kepada pesawat yang lebih moden.
Tetapi masalah penyelenggaraan dan kepatuhan terhadap peraturan keselamatan tetap menjadi masalah. – AFP, 12 Ogos, 2021.
Komen