7 dosa terbesar kerajaan Muhyiddin dalam mengurus pandemik


SETELAH sembilan hari bergelut dengan Covid-19 di Wad 3A Hospital Sungai Buloh dan empat kali ditiarapkan dalam usaha menaikkan paras oksigen — degup jantung Abdul Shukor Muhamad Yusoff, 46, terhenti untuk selama-lamanya.

Isterinya, Mira, yang baru beberapa hari lepas keluar dari hospital sama (atas jangkitan virus celaka yang sama!), sekarang berhadapan pula dengan kepiluan atas pemergian suami.

Abdul Shukor meninggalkan seorang balu dan empat orang anak berusia antara empat hingga 13 tahun. Bermulalah jalan kehidupan mereka kini bergelar anak yatim.

Sepanjang hayatnya, arwah sangat disayangi dan dihormati rakan taulan. Peribadinya mulia, akhlaknya teduh, bercita-cita tinggi. Malah, jiwanya seakan meronta resah kalau tidak menemui ruang untuk membantu orang lain dalam sehari.

Beliau juga patriotik, gemar kepada sukan lasak outdoor, laut dan air terjun. Di papan catur dan board games, dia jaguh.

Apa yang menyesakkan, Mira dan anak-anak bukan lagi kes terpencil di Malaysia ketika ini, lantaran pada tarikh, ada 209 keluarga lain turut meratapi kehilangan insan tersayang yang gugur dan tersimpan sebagai perangkaan korban dijangkiti virus Covid-19.

Dan setakat masa penulisan, Malaysia baru sahaja bergelar ‘juara dunia’ dalam persekitaran paling hitam apabila merekodkan angka kematian tertinggi mencecah 360 nyawa.

Statistik Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kenaikan kematian mendadak sejak awal Ogos lalu. Dan nyawa Abdul Shukor, termasuk dalam senarai 7 Ogos 2021:

7 Ogos 2021 - 210 orang

6 Ogos 2021 - 160 orang

5 Ogos 2021 - 164 orang

4 Ogos 2021 - 257 orang

3 Ogos 2021 - 195 orang

2 Ogos 2021 - 219 orang

1 Ogos 2021 - 160 orang

Sejelas ibarat, setiap hari bagaikan sebuah pesawat jumbo jet membawa penumpang dalam kapisiti penuh, terhempas di negara kita selama tujuh hari berturut-turut! Dan kita hanya tergamam sambil menyedekahkan bacaan Al-Fatihah melihat angka-angka itu.

Bayangkan tragedi MH17 atau MH370 berlaku setiap hari di negara ini, membungkam rasa dan jiwa rakyat dalam ketakutan tanpa sekilas cahaya pun di hujung kelam. Eksekutif dan kerajaan jenis apa kamu ini? 

Berdasarkan data KKM, Malaysia merekodkan 19,991 kes pada 10 Ogos dengan jumlah kes terkumpul sebanyak 1,299,767. Kadar kematian pada angka 201 bagi tarikh sama, manakala jumlah kematian berada pada 11,162 orang setakat ini. 

Itu angka yang terkesan secara langsung dengan pandemik ini. Belum lagi kesan tidak langsung seperti peningkatan kes bunuh diri, gangguan mental dan kesesakan ekonomi yang membelenggu rakyat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. 

Seseorang, atau mana-mana organisasi, pertubuhan, kumpulan, hatta atas frasa nama apa sekalipun yang digelar, wajib bertanggungjawab.

Terjemahan harfiahnya senang sahaja. Kelompok Eksekutif yang berada di Blok Utama, Bangunan Perdana Putra itulah yang harus menjawab segala hitungan ‘dosa-dosa’ di bawah yang telah menjerumus negara ke lembah mudarat:

1. Langkah Sheraton

Asalnya Malaysia mewarisi kerajaan tempang ini, bermula dengan Langkah Sheraton. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan tidak semena-mena telah meletak jawatan (suka hati dia nak buat apa), memberi peluang kepada Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan kerajaan koalisi yang lemah, capik dan semberono dalam menguruskan negara.

Justeru, sekalian ahli politik yang terlibat secara langsung atau tersirat dalam Langkah Sheraton, jangan buat-buat diri itu tidak berdosa.

Anda yang pertama memporak-perandakan negara yang sedang menangani krisis kesihatan dan ekonomi terburuk di dunia.

Perlu juga ditanggung serentak dosa berlakunya Langkah Sheraton dan perjelaskan kepada rakyat kenapa anda berbuat sedemikian.

2. Pilihan Raya Negeri Sabah

Usai Langkah Sheraton, seraya baru sahaja rakyat boleh menarik nafas lega meraikan sifar kes tempatan pada 1 Julai 2020, ahli politik tidak menunggu lama untuk kembali berebut kuasa.

Betapa dalam lingkaran keluk ego mereka, pada 30 Julai 2020, keengganan Shafie Apdal menyerah secara bermaruah - apabila sudah hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri Sabah – jelas mengheret negara ke lembah gelombang ketiga Covid-19.

Rakyat tidak akan pernah lupa layanan mengenai kasta berbeza, malahan tiada kuarantin wajib pun dikenakan untuk mereka yang pulang dari Sabah tanpa sekelumit rasa bersalah.

Saat ini, rakyat hanya mampu pasrah dan menyerah. Tiada lagi yang mampu kita lakukan selain daripada menerima.

Saat ini, kita tidak lagi mampu mengawal angka kenaikan. Segalanya semakin hampir mencetuskan semacam jenis kegilaan dan nyata berada di luar kawalan.

Bahkan duit sendiri berbentuk i-Lestari dan moratorium terpaksa dirayu dan ditadah sebelum tiba ke dalam genggaman.

 3. Kes Sektor Perkilangan & Pekerja Asing

Malaysia juga bergelut untuk mengawal kluster yang bercambah ibarat cendawan selepas hujan, sumbangan sektor perkilangan dan pekerja asing yang tidak ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh PKP yang dimulakan awal tahun ini.

Mengikut angka dan data, sepanjang Jun sahaja, 91% kluster di Selangor berpunca daripada pekerjaan iaitu 80 % kluster perkilangan dan 11% kluster tapak binaan, bersamaan 125 kluster daripada dua sektor ini.

Di Johor pula, penularan utama dilaporkan berlaku dalam kalangan pekerja yang tinggal di asrama selain ujian bersasar yang menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19.

Pekikan di sini: mana kawalan operasi kilang? Mana majikan yang dikenakan tindakan? Assalamualaikum Ahli Parlimen Gombak, you are a disgrace to the August house, you are a disgust to mankind.

4. Menyalahgunapakai Ordinan dan Kuasa Darurat

Hakikatnya, Malaysia lebih parah setelah pelaksanaan Ordinan dan Kuasa Darurat yang asbab asalnya dimohon oleh kerajaan Mahiaddin untuk memerangi pandemik Covid-19.

Ironi, bukan?

Nombor tidak akan sesekali pernah menipu. Sepanjang lima bulan kita diikat dan dijerut darurat, kes mencanak setiap hari. Angka kematian meningkat 10 kali ganda daripada nilai 1,000 kematian sejak Februari 2021.

Rakyat hilang daya untuk hidup. Keluarga terpaksa mencatu makanan, dan paling meresahkan, ramai yang memilih jalan singkat.

Mana dasar di bawah darurat untuk Covid19? Yang ada hanya data 468 mati bunuh diri.

Mana makanan dan bakul untuk keluarga? Hanya bendera putih digantung sebagai penyambung nyawa.

Mana laptop untuk anak-anak kita? Yang ada hanya keciciran demi keciciran, anak-anak yang terperangkap pelajarannya sepanjang pandemik, membentuk terma ‘lost generation’ atau generasi ketinggalan yang ‘kehilangan’ masa berharga dalam mengisi ilmu di dada.

5. Lockdown Separuh Masak

Kegagalan demi kegagalan menjadi punca kebobrokan ekonomi kita. Putrajaya juga culas mengaku kesilapan dengan rakyat dengan melaksanakan PKP separuh masak. Nampak tidak ikhlas dan tidak pandai mentadbir.

Beginilah. Tiada siapa lagi yang boleh menyimpulkan betapa gagalnya perintah kawalan pergerakan sepanjang 2021, selain daripada Perdana Menteri Keenam, Najib Razak di laman Facebook beliau:

“India diancam varian Delta. India buat lockdown. Kes India turun.

Nepal diserang varian Delta. Nepal buat lockdown. Kes Nepal turun.

Indonesia dilanda varian Delta. Indonesia buat lockdown. Kes Indonesia mula turun.

Di Malaysia pula, makin lama kita buat lockdown makin tinggi kes.

Malah kes baharu semakin tinggi setiap kali nama bertukar dari PKP 3.0 ke Total Lockdown ke PKPD ke PPN.

Sampai 3 bulan kita dikurung sejak PKP 3.0 bermula pada 12 Mei tapi kes main naik.

Orang lain buat lockdown kes turun. Kerajaan PN buat lockdown, kes naik.”

6. Membenarkan Sistem Kesihatan Awam Hampir Lumpuh

Ini juga antara khilaf terbesar kerajaan Perikatan Nasional.

Perbahasan antara kesihatan dan ekonomi: mana lebih penting, terus dibiarkan melarat di saat sistem kesihatan menghampiri ambang lumpuh dengan kapasiti hospital menghadapi situasi luar jangka.

Akhirnya, pada cuti Hari Raya Haji lalu, kadar kapasiti unit rawatan rapi (ICU) negara mencecah paras 104%!

Lebih membimbangkan, tren kemasukan kes Covid-19 ke ICU kekal berada pada tahap yang tinggi.

Ia langsung tidak menunjukkan penurunan ketara hingga kini, yang mana jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90%.

Pada masa sama, petugas barisan hadapan terus diasak berjuang menangani begitu banyak kes pandemik untuk tempoh yang berlarutan.

7. Merogol Demokrasi di Malaysia

Walaupun list ini tidak exhaustive, antara dosa terbesar pentabiran Mahiaddin adalah apabila Malaysia menjadi satu-satunya negara yang menggantung Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan dengan menggunakan alasan Covid-19.

Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk Parlimen bersidang segera disanggah dan mereka terus terkumat-kamit berdolak-dalik. Sudahnya Menteri Undang-Undang dihumban ke bawah bas. Terkantoi akhirnya salah susur-galur mentadbir darurat. Macamana lagi sekarang?

Kalau dengar desas-desus kawan-kawan peguam dalam grup Telegram, kesalahan demi kesalahan kerajaan Mahiaddin sekarang sudah tantamount to criminal negligence – terserahlah kepada yang lebih arif mentafsir.

Menutup penulisan bungkam ini, penulis Goenawan Mohamad pernah bertanya: di Nusantara ini siapa yang tidak pernah berdosa?

Benarlah kita semua insan berdosa. Tetapi dosa kerajaan Mahiaddin telah meragut lebih 11,000 nyawa.

Saya mohon merekod fakta yang sama dalam sejarah negara. – 12 Ogos, 2021.

* Elviza Michele Kamal


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen