UNIT milik penuh Yinson Holdings Bhd yang berpangkalan di Singapura, Yinson Production Offshore Pte Ltd dan rakan projeknya, Sumitomo Corporation telah menandatangani perjanjian kemudahan pembiayaan bersindiket untuk kemudahan penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) projek Anna Nery di Brazil.
Projek itu diberikan kepada Yinson daripada Petróleo Brasileiro SA (Petrobras) pada Oktober 2019 dengan Sumitomo memiliki 25 peratus kepentingan dalam projek tersebut.
FPSO itu adalah bagi projek Marlim bahagian timur Campos Basin, kira-kira 150 kilometer di luar persisir Rio de Janeiro, Brazil.
Yinson berkata pembiayaan bersindiket selama lima tahun itu atau terhad akan digunakan untuk membiayai semula pimbiayaan jangka pendek AS$400 juta sedia ada yang diterima pada September 2020 dan menyokong pembinaan projek FPSO Anna Nery yang sedang berjalan sekarang.
ING, Natixis, dan Standard Chartered Bank adalah bank pengunderaitan kemudahan pembiayaan dan perjanjian itu juga ditandatangani oleh AmBank, United Overseas Bank Ltd, Mizuho Bank Ltd dan Hong Kong dan Shanghai Banking Corp Ltd (HSBC) yang mengambil bahagian sebagai pemberi pinjaman kanan .
“Perjanjian itu diterima positif oleh komuniti pelaburan dengan beberapa bank menyatakan minat untuk menyertai termasuk Export-Import Bank of Malaysia Bhd yang dijangka akan menyertai pada fasa bersindiket,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Ketua Pegawai Strategi kumpulan Yinson, Daniel Bong berkata beliau percaya perjanjian itu adalah yang pertama seumpamanya dalam pembiayaan FPSO.
“Perjanjian itu dimeterai dalam persekitaran cabaran yang ketara dalam pembiayaan FPSO, ia telah terkesan sejak tahun lepas akibat pandemik COVID-19 dan minat pelabur yang berkembang kerana peralihan tenaga.
“Kejayaan perjanjian ini adalah bukti keyakinan masyarakat pelabur terhadap kemampuan Yinson untuk terus melaksanakan komitmen kami dan dalam kekukuhan strategi perniagaan syarikat ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif bahagian Pengeluaran Luar Pesisir, Flemming Grønnegaard berkata kemampuan berterusan pasukan projek untuk memenuhi pencapaian dalam pembinaan adalah sangat penting dalam mengukuhkan sokongan bank pengunderaitan untuk pimbiayaan itu.
“Kami baru-baru ini menyiapkan fasa terakhir kerja-kerja pengedokan kering di limbungan Cosco di China dan berada di landasan yang betul bagi penyiapan projek pada suku akhir 2022,” katanya. – Bernama, 12 Ogos, 2021.
Komen