Kurang dana, sokongan dan tekanan kerajaan halangan terbesar kumpulan belia


Raevathi Supramaniam

Ratusan doktor mengambil bahagian dalam mogok Hartal Doktor Kontrak pada 26 Julai bagi menuntut gaji yang sama dan prospek kerajaan yang lebih baik bagi pegawai perubatan kontrak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2021.

KEKURANGAN dana, sokongan dan tekanan oleh pihak berkuasa antara sebab kumpulan bukan politik serta belia berusaha untuk menggerakkan dan memperjuangkan reformasi.

Golongan itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka sudah dilabel sebagai pengacau kerana berani membela hak dan menuntut perubahan dibuat.

Beberapa daripada mereka dipanggil untuk disoal siasat oleh polis dan yang lain seperti pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut didakwa di mahkamah.

Bagi kumpulan Hartal Doktor Kontrak, cabaran terbesar mereka adalah kurangnya sokongan daripada pegawai atasan Kementerian Kesihatan termasuk ketua pengarah dalam usaha mereka mendapatkan gaji dan prospek pekerjaan yang sama dalam perkhidmatan awam.

“Yang paling menyedihkan adalah ketua pengarah kami sendiri (Dr Noor Hisham) tidak menyokong kami. Kami tidak menggesa orang ramai untuk menjatuhkan kerajaan. Ia hanya protes selama sejam.

“Tidak ada rawatan pesakit yang terganggu. Kami tetap bekerja. Tetapi kenyataan bahawa pegawai atasan belum menangani masalah ini menyedihkan kami,” kata Dr Mohammad, jurucakap kumpulan berkenaan merujuk kepada mogok yang dilakukan oleh doktor kontrak di seluruh negara bulan lalu.

Ratusan doktor mengambil bahagian dalam mogok berkenaan pada 26 Julai bagi menuntut gaji yang sama dan prospek kerajaan yang lebih baik bagi pegawai perubatan kontrak walaupun gesaan Noor Hisham agar kumpulan tidak ikut serta dan mengingatkan mereka mengenai sumpah pengamal perubatan untuk mengutamakan pesakit.

Sistem doktor kontrak pertama kali diperkenalkan pada 2016 sebagai penyelesaian awal penangguhan penempatan pegawai perubatan.

Setelah menyertai perkhidmatan kerajaan, doktor kontrak diberi pakej kontrak lima tahun terdiri daripada kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun.

Bagaimanapun, sejak 2016 daripada 23,077 doktor kontrak, hanya 789 yang diberi jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.

Mohammad berkata, sejak awal tahun ini, 400 doktor sudah berhenti dan berpindah ke sektor swasta atau ke luar negara.

“Tidak lama lagi, rakyat akan memanggil mereka pengkhianat dan tidak patriotik,” katanya sambil menolak untuk menyatakan nama penuhnya.

Beliau menambah, jika kerajaan tidak memenuhi tuntutan mereka, kumpulan itu akan mengadakan mogok lain, tetapi buat masa ini mereka harus menumpukan perhatian untuk merawat pesakit Covid-19.

“Penjagaan pesakit jauh lebih penting dari apa yang kita perlukan sekarang,” katanya. – 12 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen