Shanghai sasar wujud ‘lingkaran kehidupan 15 minit’


Shanghai komited mewujudkan lingkaran kehidupan 15 minit meliputi semua komuniti demi kemudahan rakyat. – Gambar AFP, 11 Ogos, 2021.

MULAI tahun ini kerajaan Shanghai komited mewujudkan “lingkaran kehidupan 15 minit” meliputi semua komuniti demi kemudahan rakyat.

Pelbagai pendekatan inovatif yang diambil Shanghai akan turut diperkenalkan kepada lebih banyak bandar di seluruh negara.

Skim “lingkaran kehidupan 15 minit” bertujuan membolehkan penduduk sampai ke kemudahan perkhidmatan awam utama seperti pusat  beli-belah, perubatan, sukan dan budaya dengan hanya berjalan kaki selama 15 minit sahaja.

Selain itu, usaha menambah baik kemudahan dan perkhidmatan untuk warga emas menjadi keutamaan susulan jumlah golongan itu merangkumi kira-kira separuh jumlah penduduk di beberapa daerah di bandar raya tersebut.

Pihak berkuasa tempatan juga berusaha menyediakan pelbagai kemudahan dan aplikasi digital mesra warga emas bagi membolehkan golongan terbabit menikmati perkhidmatan awam yang berorientasikan teknologi baharu.

Di daerah Wuning, pelbagai kemudahan disediakan untuk mempermudah kehidupan warga emas termasuk kantin, pusat perubatan, malah kuliah khusus turut ditawarkan kepada mereka.

“Semua penduduk boleh mengemukakan keperluan dan hasrat masing-masing.

“Pelan penambahbaikan kemudahan komuniti akan dirangka dengan mengambil kira suara dan cadangan setiap penduduk,” kata Naib Pengarah Biro Perancangan Bandar dan Sumber Semula Jadi Shanghai, kata Bai Xueru. – Bernama, 11 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen