Filipina beri bantuan tunai kepada golongan miskin


Orang ramai beratur di Manila untuk mendapatkan bantuan tunai diberikan kerajaan bagi meringankan beban golongan miskin sepanjang perintah berkurung. – Gambar AFP, 11 Ogos, 2021.

PEMANDU beca di Filipina, Jesus Gomez memang sedia miskin walaupun sebelum Manila kembali dikenakan perintah berkurung kerana koronavirus minggu lalu, yang menyebabkan penumpangnya terpaksa duduk di rumah.

Akibatnya, pendapatannya semakin terjejas.

Sudah enam bulan dia tidak dapat membayar sewa rumah dan tidak mampu lagi membeli gas untuk memasak, lelaki warga emas berusia 77 tahun itu hari ini beratur bersama ratusan yang lain bagi mendapatkan bantuan tunai daripada kerajaan sebanyak 1,000 peso (AS$20).

Kira-kira 89% daripada lebih 13 juta penduduk di ibu kota itu layak menerima bantuan tunai secara one-off itu, bagi membantu meringankan bebanan akibat tekanan ekonomi terutama dengan perintah berkurung yang terkini.

“Bantuan tunai ini besar ertinya untuk saya kerana saya dapat beli gas memasak,” kata Gomez yang hanya memperoleh 200 peso sehari sepanjang perintah berkurung.

Sekatan dikuatkuasakan sejak permulaan  pandemik tahun lalu menggoncang ekonomi Filipina, menyebabkan jutaan orang hilang pekerjaan dan banyak keluarga kebuluran.

Lonjakan jangkitan, yang kebanyakannya kerana varian Delta baru-baru ini di negara berjiran menyebabkan Manila sekali lagi mengenakan sekatan.

Presiden Rodrigo Duterte baru-baru ini berkata negara itu tidak mampu lagi untuk mengharungi sekali lagi perintah berkurung.

Tetapi dengan hanya 10% daripada populasi negara itu yang mendapat vaksin penuh dan hospital penuh, pihak berkuasa tidak ada banyak pilihan untuk memperlahankan penularan virus itu.

Sekatan lebih ketat, termasuk perintah berkurung waktu malam lapan jam selain larangan makan di premis dan bersenam di luar, dijangka akan menyebabkan ekonomi rugi AS$3 bilion seminggu. – AFP, 11 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen