MALAYSIA satu-satunya negara di dunia yang semakin tinggi kes Covid-19 walaupun tempoh sekatan pergerakannya panjang, kata bekas perdana menteri Najib Razak hari ini.
Menulis di Facebook, beliau berkata walaupun sudah lebih tiga bulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, Malaysia tidak menunjukkan penurunan kes Covid-19 atau jumlah kematian akibat koronavirus.
“Hari ini genap 3 bulan (92 hari) sejak PM8 umum PKP 3.0 separuh masak seluruh negara. Sebelum ini, tempoh PKP 2.0 separuh masak pada awal tahun berlangsung selama 51 hari.
“Malaysia antara negara yang paling lama buat lockdown tahun ini tetapi Malaysia juga satu-satunya negara yang makin lama lockdown, makin tinggi kes Covid.
“Data dan sains mana yang kerajaan PN pakai?” Katanya dalam hantaran itu.
Ahli Parlimen Pekan itu menambah bahawa sejak Januari hingga kini, Malaysia sudah melaksanakan PKP selama 143 hari.
“Kedudukan negara ketika ini adalah di belakang Fiji, Cuba, Botswana, Georgia dan Cyprus. Dari segi angka kematian baharu per juta orang, Malaysia naik ke tangga ke-9 berbanding 17.”
Sejak permulaan pandemik tahun lepas, kerajaan melaksanakan tiga PKP dalam usaha untuk membendung penyebaran koronavirus.
sejak 11 Januari hingga 1 Ogos, seluruh negara diletakkan di bawah darurat bagi tujuan yang sama, namun, kes harian tidak bertambah baik.
Kes secara konsisten naik kepada lima angka dengan 19,991 jangkitan baharu dilaporkan semalam.
Pada Ahad, Malaysia melaporkan jumlah rekod kematian tertinggi apabila 360 orang meninggal dunia.
Jumlah kematian harian juga naik kepada tiga digit manakala jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 11,162.
Pada masa ini, kebanyakan negeri masih berada di bawah Fasa 1 Program Pemulihan Negara, dengan hanya sektor penting yang dibenarkan beroperasi sementara tiada aktiviti sosial dibenarkan.
Hanya Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang sudah beralih ke Fasa 2, sementara Perlis, Sarawak dan Labuan berada dalam Fasa 3.
Pada hujung minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran makan di kedai, rentas daerah dan sukan tidak melibatkan kontak di negeri Fasa 2 dan ke atas kepada individu yang sudah mendapat vaksin lengkap.
Bagaimanapun, pakar perubatan berasa ini langkah yang salah kerana bilangan kes masih tinggi dan hospital kehabisan katil untuk menampung lebih banyak pesakit Covid-19. – 11 Ogos, 2021.
Komen